am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Seorang suri rumah terkejut apabila anak perempuannya dipercayai autisme terjatuh daripada tingkat 13, pangsapuri Ladang Tok Pelam, di sini, hari ini.
Nor Azera Ismail, 36, daripada Kampung Lepah, Selising, Pasir Putih, Kelantan, hanya menyedari anak ketiganya, Nur Muazzah Aisyah Mubi, 7, terjatuh selepas dimaklumkan penghuni pangsapuri berkenaan, kira-kira jam 7 pagi.
Nor Azera berkata, dia dan suami, Mubi Mat Husin, 38, serta tiga anak dan anak saudaranya mendaftar masuk ke inap desa berkenaan jam 12 tengah malam tadi.
“Saya ada rasa rasa tidak sedap hati apabila mendapati tingkap tidak berkunci dan berpagar.
“Pada mulanya, kami berhasrat menelefon pemilik inap desa untuk menukar bilik lain, tetapi terpaksa membatalkan disebabkan sudah tengah malam,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini.
Nor Azera dan suami serta anak-anaknya tiba di Kuala Terengganu dan menyewa inap desa di pangsapuri itu untuk menghadiri seminar keusahawanan hari ini.
Nor Azera berkata, dia mengikat tangan Nur Muazzah Aisyah dengan tangannya menggunakan tali riben selepas mendapati mangsa beberapa kali membuka tingkap yang tidak berkunci sebelum tidur.
“Saya hanya menyedari Nur Muazzah Aisyah terjatuh selepas penghuni yang mengetuk pintu bertanyakan sama ada saya ada anak perempuan atau sebaliknya.
“Ketika itu saya sedang bersiap,” katanya.
Nor Azera mengakui kejadian itu berlaku dalam sekelip mata kerana anaknya masih nyenyak tidur ketika dia sedang mandi.
“Saya menjenguk keluar tingkap dan mendapati anak saya berada dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di tingkat enam di kawasan parkir,” katanya.
Nor Azera berkata, jenazah Nur Muazzah Aisyah akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Lepah, Selising, Pasir Putih, Kelantan, selepas bedah siasat selesai dilakukan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan ada menerima laporan berkenaan.
“Setakat ini polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




