Josue puas hati semangat Harimau Malaya

Josue puas hati semangat Harimau Malaya

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua pasukan Harimau Malaya, Paulo Josue mengakui Myanmar memberikan tentangan sengit seperti dijangkakan apabila skuad negara terpaksa bangkit untuk menewaskan tuan rumah 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Thuwunna, semalam.

Menurut pemain naturalisasi itu, kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri menjadikan Myanmar tampil lebih bermotivasi dan agresif sehingga memaksa Harimau Malaya bekerja keras untuk membawa pulang tiga mata berharga.

“Seperti yang kami jangka, Myanmar adalah pasukan yang sangat kuat apabila beraksi di laman sendiri. Mereka bermain dengan penuh semangat, motivasi tinggi dan memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang perlawanan.

“Kami benar-benar perlu bekerja keras untuk bangkit semula. Ia bukan perlawanan yang mudah kerana kami sudah membuat persiapan menghadapi aksi agresif daripada Myanmar,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Malaysia dikejutkan terlebih dahulu seawal minit ke-10 menerusi jaringan Myat Kaung Khant.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe juga memiliki beberapa peluang terbaik pada separuh masa pertama tetapi tidak berjaya menjaringkan gol.

Namun, Josue muncul wira pasukan untuk mengelakkan Harimau Malaya diaibkan pasukan tuam rumah menerusi dua gol pada minit ke-52 dan minit-57.

Kemenangan itu menyaksikan Harimau Malaya memulakan kempen Piala ASEAN 2026 dengan langkah kanan, sekali gus memberikan suntikan keyakinan kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk menghadapi baki saingan Kumpulan B.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top