Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berpandangan teknologi kecerdasan buatan (AI) wajar diraikan sebagai kemajuan teknologi, namun penggunaannya tidak seharusnya sehingga mengenepikan kreativiti manusia.
Menurut Siti, AI hanya berperanan sebagai alat yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak, tetapi perlu digunakan secara berhemah dan pada waktu yang sesuai.
“Sebenarnya AI ini hanya sebagai ‘alat’ sahaja. Kita jangan sampai menolak sebab ini adalah kemajuan teknologi.
“Kita sepatutnya menggunakannya pada waktu dan cara yang bersesuaian.
“Selebihnya perlu guna kreativiti dan berinovatif sendiri. Barulah minda kita berkembang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kebergantungan berlebihan terhadap AI boleh menyebabkan manusia menjadi semakin pasif dan kurang berusaha menghasilkan sesuatu berdasarkan kreativiti sendiri.
“Kalau kita mengharapkan semua pada AI, akan jadi lebih malas.
“Sebab itu saya cakap, AI hanya sebagai alat sahaja. Selebihnya kita kena kerjalah dengan kehebatan dan kreativiti kita. Itu jawapan saya,” katanya lagi.

Terdahulu, penggunaan AI dalam penghasilan karya kreatif termasuk lagu terus menjadi perdebatan hangat dalam kalangan penggiat muzik tanah air, susulan kebimbangan terhadap kesannya terhadap nilai kreativiti dan keaslian karya.
Sumber: Kosmo! Online (Nur Emira Saizali)




