Aniq hadiah emas pertama Malaysia

Aniq hadiah emas pertama Malaysia

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas muncul juara kategori 60 kilogram (kg), sebentar tadi.

Lebih membanggakan, atlet berusia 24 tahun itu turut memecahkan dua rekod temasya menerusi acara clean&jerk serta jumlah angkatan keseluruhan apabila mengumpul 273kg hasil angkatan 121kg dalam snatch dan 152kg dalam clean& jerk.

Pingat perak menjadi milik atlet dari India, Rishikanta Singh dengan jumlah angkatan keseluruhan 264kg manakala wakil Kenya, Joshua Amunga Mboya membawa pulang gangsa, 260kg.

Aniq memulakan saingan acara snatch dengan angkatan 116kg pada percubaan pertama, menyamai beban yang dipilih pencabar utamanya Rishikanta.

Kedua-dua atlet memilih angkatan 119kg pada percubaan kedua dan berjaya menyempurnakan percubaan masing-masing.

Persaingan memuncak pada percubaan ketiga apabila Aniq dan Rishikanta sekali lagi memilih beban sama iaitu 121kg. Kedua-duanya berjaya melakukan angkatan berkenaan, namun Rishikanta diiktiraf sebagai pemegang rekod baharu temasya.

Mengikut peraturan pertandingan, rekod diberikan kepada atlet yang terlebih dahulu berjaya melakukan angkatan bagi beban yang sama.

Dalam acara clean&jerk, Aniq membuka cabaran dengan angkatan 145kg, dua kilogram lebih tinggi berbanding percubaan pertama Rishikanta, dan berjaya menyempurnakannya.

Momentum kemudian memihak kepada atlet negara apabila Rishikanta gagal mengatasi angkatan 148kg pada percubaan kedua.

Mengambil kesempatan itu, Aniq meningkatkan beban kepada 149kg pada percubaan kedua dan sekali lagi berjaya menyempurnakan angkatan berkenaan untuk mengukuhkan kedudukannya.

Rishikanta cuba bangkit menerusi angkatan 151kg pada percubaan terakhir, namun gagal menyempurnakan percubaan itu.

Aniq kemudian melengkapkan persembahan cemerlangnya apabila berjaya mengangkat 152kg pada percubaan terakhir, sekali gus mengesahkan pingat emas pertama Malaysia di Glasgow.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top