Dr Sathia akui silap petik ucapan Sanusi, pertahan laporan polis

Dr Sathia akui silap petik ucapan Sanusi, pertahan laporan polis

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan mengakui berlaku kekhilafan ketika mengulangi petikan ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dikaitkan dengan penggunaan perkataan ‘balik’.

Namun, beliau menegaskan perkara itu tidak menjejaskan asas laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin PAS itu.

Katanya, laporan polis yang dibuat Jumaat lalu bukan bersandarkan kepada satu frasa tertentu semata-mata.

“Saya tidak pernah mendakwa perkataan ‘balik’ itu adalah petikan tepat daripada ucapan Muhammad Sanusi.

“Sebaliknya, maksud tersirat ucapan itu boleh difahami oleh pendengar apabila mengikuti keseluruhan ucapan berkenaan.

“Laporan kepada pihak polis dibuat bukan bersandarkan kepada satu frasa tertentu semata-mata, tetapi berdasarkan keseluruhan kandungan ucapan yang antara lain menyebut orang India mempunyai India, orang Cina mempunyai China manakala orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Dr Sathia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Negeri Sembilan petang tadi berhubung penggunaan perkataan ‘balik’ ketika beliau menyampaikan ceramah di Jempol baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun Muhammad Sanusi tidak menyebut perkataan itu secara langsung, kenyataan yang disampaikan tetap boleh menimbulkan rasa curiga dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, cubaan untuk menumpukan perbahasan kepada sama ada perkataan ‘balik’ disebut atau tidak hanya mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.

Dalam perkembangan sama, Dr Sathia berkata naratif yang menggambarkan kaum lain sebagai ancaman kepada hak atau masa depan orang Melayu berpotensi membangkitkan sentimen perkauman serta menjejaskan semangat perpaduan yang menjadi asas pembentukan negara.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang bagi menentukan sama ada ucapannya melanggar mana-mana peruntukan yang berkuat kuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top