Mohamad Aniq sumbang pingat emas pertama Malaysia di Glasgow 2026

Mohamad Aniq sumbang pingat emas pertama Malaysia di Glasgow 2026

JAGUH angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan menyumbangkan pingat emas pertama buat Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas mengungguli acara lelaki bagi kategori 60 kilogram (kg) di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo hari ini.

Mohamad Aniq merangkul gelaran itu dengan jumlah angkatan keseluruhan 273kg yang terdiri daripada 121kg dalam acara snatch dan 152kg dalam acara clean and jerk, serta turut mencipta rekod baharu Sukan Komanwel.

Beliau mengatasi atlet angkat berat India, iaitu Rishikanta Singh Chanambam yang mencatat jumlah angkatan 264kg dan Joshua Amunga Mboya dari Kenya (260kg).

Kejayaan itu memecah kebuntuan pungutan emas Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026 sekali gus menambah koleksi pingat negara selepas jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin, meraih gangsa.

Mohamad Aniq adalah penyandang juara Sukan Komanwel bagi acara angkat berat lelaki kategori 55kg di Birmingham pada 2022 dengan jumlah angkatan 249kg.

Ketika itu, beliau melakukan angkatan 107kg dalam acara snatch dan 142kg dalam acara clean and jerk, yang turut mencipta rekod pada temasya sukan berprestij tersebut. – Bernama

Scroll to Top