SHAH ALAM – Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan mengakui terdapat kekhilafan ketika mengulangi petikan ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dikaitkan dengan ungkapan perkataan ‘balik’.
Dr Sathia berkata, bagaimanapun perkara itu tidak menjejaskan asas laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin Pas itu Jumaat lalu berhubung ucapan yang didakwa berpotensi membangkitkan sentimen perkauman.
“Saya mengakui terdapat kekhilafan apabila mengulangi ucapan itu dengan menggunakan perkataan ‘balik’.
“Namun saya tidak pernah mendakwa perkataan tersebut merupakan petikan tepat daripada ucapan Muhammad Sanusi.
“Sebaliknya, apa yang saya bangkitkan ialah maksud tersirat daripada keseluruhan ucapan berkenaan yang boleh difahami oleh pendengar,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut beliau, fokus utama laporan polis berkenaan ialah kenyataan Muhammad Sanusi yang menyebut orang India mempunyai India, orang Cina mempunyai China manakala orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu.
Katanya, kenyataan sedemikian wajar disiasat pihak berkuasa kerana berpotensi mencetuskan persepsi bahawa kaum lain merupakan ancaman kepada hak dan masa depan orang Melayu.
“Perbahasan mengenai sama ada perkataan ‘balik’ disebut atau tidak hanya mengalihkan perhatian daripada isu sebenar, iaitu kandungan ucapan yang berpotensi membangkitkan sentimen perkauman.
“Naratif yang menggambarkan kaum lain sebagai ancaman kepada hak atau masa depan orang Melayu boleh menjejaskan semangat perpaduan yang menjadi asas pembentukan negara,” katanya.
Dr Sathia berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara adil dan profesional mengikut lunas undang-undang, termasuk menentukan sama ada ucapannya sendiri melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.
“Saya menghormati proses siasatan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis,” katanya.
Sebelum ini, Dr Sathia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban berhubung ucapannya ketika ceramah di Jempol yang mengaitkan Muhammad Sanusi dengan kenyataan masyarakat Cina dan India perlu ‘balik’ ke negara asal mereka.
Terdahulu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa Dr Sathia telah memanipulasi ucapan Muhammad Sanusi dan menuntut beliau menarik balik kenyataan serta memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Kedah itu.
Susulan kontroversi tersebut, beberapa laporan polis turut dibuat terhadap Dr Sathia pada Ahad.



