Kerajaan kaji dos kedua AstraZeneca dipendekkan

Kerajaan kaji dos kedua AstraZeneca dipendekkan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji sama ada tempoh masa pemberian dos kedua vaksin AstraZeneca, boleh dipendekkan daripada 12 minggu kepada enam minggu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ini bergantung kepada laporan pakar terhadap situasi COVID-19 negara, sama ada penerima memerlukan kesan perlindungan maksimum daripada dos kedua dengan lebih cepat.

“Kita masih perlu melakukan aktiviti penjujukan genom yang berterusan untuk mengesan, jika wujud varian baru COVID-19 lebih ganas yang akan mengganggu keberkesanan vaksin AstraZeneca.

“Keputusan akan dibuat oleh JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin), jika tempoh dos kedua perlu diberi dalam masa lebih cepat,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di sini hari ini.

Pada masa ini, tempoh di antara dos pertama dan kedua vaksin AstraZeneca ialah 12 minggu atau tiga bulan.

Sementara itu, katanya, kerajaan akan mengkaji laporan pakar kesihatan negara dan pihak berkuasa kesihatan Australia, berikutan negara itu menghentikan penggunaan AstraZeneca kepada rakyat 60 tahun ke bawah, susulan terdapat kebimbangan vaksin itu ada kaitan dengan kejadian darah beku untuk golongan berkenaan.

Dr Adham berkata, ini terutamanya bagi bekalan AstraZeneca dikeluarkan oleh pembekal dari Thailand yang akan tiba, pada Julai ini.

“Pakar-pakar kita akan membuat penilaian kembali sama ada AstraZeneca kali ini sesuai diberikan kepada 60 tahun ke bawah,” katanya.

Malaysia sebelum ini membuat perolehan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah, iaitu secara terus dengan pengeluar dan melalui fasiliti COVAX.

Dr Adham berkata, setakat ini menurut data secara keseluruhan vaksin AstraZeneca tidak melaporkan sebarang kemudaratan teruk, terhadap penerima di negara ini.

Mengulas mengenai strategi dos pertama dalam pemberian vaksin, Dr Adham berkata, buat masa ini kerajaan tidak akan melaksanakannya kerana bekalan vaksin yang ditempah mencukupi untuk penduduk negara ini.

Menerusi strategi itu, suntikan dos pertama vaksin COVID-19 diberikan kepada lebih ramai orang dengan melanjutkan tempoh pemberian dos kedua. Strategi berkenaan dilaksanakan oleh negara-negara seperti United Kingdom dan Jerman.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, kerajaan menjalankan kaedah ‘suntik dahulu, daftar kemudian’ bagi golongan yang sukar mendapat akses pendaftaran vaksinasi, terutamanya mereka di kawasan pedalaman.

Dr Adham berkata, ini dengan mengaktifkan pasukan bergerak membabitkan kerjasama pelbagai kementerian, bagi menjejaki golongan sasaran yang sepatutnya menerima vaksin dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Pada fasa dua, kita sasarkan untuk suntik 9.4 juta penerima. Tetapi hingga kita dapati hanya 4.4 juta sahaja yang sudah berdaftar dengan MySejahtera. Jadi, kita sedang sedaya upaya untuk mengerah pasukan untuk kita mencapai semua penerima ini, baru kita boleh teruskan dengan fasa ketiga,” katanya.

Fasa kedua program imunisasi itu bermula April lalu yang mengutamakan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berpenyakit kronik.

Sementara itu, Dr Adham berkata, rakyat yang sudah divaksin perlu kekal melakukan tindakan kesihatan awam kendiri, agar risiko penularan jangkitan dapat dibendung dengan berkesan.

“Masih ada kebarangkalian untuk individu yang sudah diberikan vaksin mendapat jangkitan COVID-19 kerana kita masih terdedah kepada risiko jangkitan virus itu, memandangkan ia telah berada dalam komuniti. Norma baharu seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, menjaga jarak fizikal dan elak daripada mengunjungi tempat sesak serta elak daripada bersentuhan perlu terus diamalkan,” katanya.

Katanya, vaksinasi COVID-19 berfungsi melindungi penerima daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk dan kerajaan melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan memastikan apa-apa sahaja vaksin digunakan, dipastikan ia selamat, berkesan dan berkualiti tinggi.

Mengulas mengenai pemberian vaksin kepada golongan berusia 12 hingga 17 tahun, KKM kini sedang merangka strategi bagi memvaksin golongan itu yang berjumlah 3.5 juta.

Terdahulu kerajaan meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty buatan Pfizer-BioNTech bagi golongan berusia 12 tahun dan ke atas. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top