'Macam balik kampung' – Mat Sabu imbau nostalgia dibuang daerah ke Kuala Pilah 40 tahun lalu

'Macam balik kampung' – Mat Sabu imbau nostalgia dibuang daerah ke Kuala Pilah 40 tahun lalu

am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Parlimen Kuala Pilah disifatkan mempunyai nilai sentimental buat Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu apabila pernah dibuang dan dikenakan perintah sekatan daerah di kawasan ini.

Mohamad, 71, yang kini menjawat jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, beliau juga banyak bertemu anak dan cucu rakannya di Kuala Pilah hari ini, selepas dua tahun dikenakan perintah sekatan daerah bermula tahun 1984 sehingga 1986.

“Saya datang sini banyakkan bertemu dengan anak cucu rakan-rakan saya ketika berada dua tahun dalam perintah sekatan di Kuala Pilah antara tahun 1984 hingga tahun 1986.

“Sudah 40 tahun berlalu, jadi yang ada anak cucu mereka.

“Alhamdulillah, saya berasa macam balik kampung. Sambutan yang diberikan oleh orang-orang kampung ini sangat baik,” katanya ketika ditemui selepas Program Kenduri Sekampung bersama Mohamad Sabu di Kampung Ulu Senaling, malam ini.

Mohamad sebelum ini adalah salah seorang daripada pemimpin PAS yang dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa beliau menjadi aktivis Dewan Pemuda PAS Pusat.

Penahanan pertama berlaku pada tahun 1984 sehingga 1986 di atas tuduhan terbabit dalam gerakan pelampau.

Beliau dibuang daerah ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan dengan pergerakan terhad selama dua tahun manakala penahanan kali kedua berlaku pada tahun 1987 sehingga tahun 1989.

Ahli Parlimen Kota Raja yang lebih mesra disapa sebagai Bang Mat itu berkata, beliau turut sempat bertemu dengan bekas pegawai polis yang membawanya dari lokap Bukit Aman ke Kuala Pilah, hari ini.

Menurutnya, hubungan mereka berdua juga kekal baik sehingga ke hari ini.

“Bagi kita dalam perjuangan ini, kita tidak menyalahkan orang (dan) jangan ada sifat dendam.

“Bagi polis (pula) dia menjalankan tugas mengikut perundangan pada waktu itu dan kita mempunyai hubungan yang baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top