Madrid: Vinicius Junior dilaporkan sudah membuat keputusan mengenai masa depannya selepas menjadi sasaran beberapa kelab besar Eropah, termasuk Arsenal dan Liverpool.
Menurut laporan, penyerang Brazil itu mahu terus kekal bersama Real Madrid dan bersedia menandatangani kontrak baharu bersama gergasi Sepanyol berkenaan.
Vinicius sebelum ini menjadi perhatian Arsenal, Liverpool dan Manchester City yang dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya pada jendela perpindahan musim panas ini.
Kem pemain berusia 26 tahun itu dilaporkan sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa kelab, namun laporan terbaru daripada akhbar Sepanyol, AS, menyatakan keutamaan Vinicius adalah untuk kekal di Santiago Bernabeu.
Kontrak semasa Vinicius bersama Real Madrid akan tamat pada musim panas 2027 dan rundingan lanjutan kontrak sebelum ini dilaporkan tidak berjalan lancar.
Situasi itu membuka ruang kepada kelab-kelab besar Eropah untuk mencuba mendapatkan pemain yang dianggap antara penyerang terbaik dunia ketika ini.
Real Madrid sebelum ini dilaporkan menawarkan peningkatan gaji kepada Vinicius, namun jumlah itu masih belum menyamai pendapatan Kylian Mbappe yang menerima sekitar €60 juta setahun.
Vinicius ketika ini dilaporkan menerima sekitar €25 juta (kira-kira RM125 juta) setahun, manakala Real Madrid bersedia menawarkan hampir €40 juta (sekitar RM200 juta) setahun sebagai sebahagian daripada rundingan kontrak baharu.
Bagaimanapun, Real Madrid dikatakan sudah memberi isyarat bahawa jika tawaran baharu itu tidak diterima, mereka bersedia mempertimbangkan penjualan pemain itu pada musim panas ini.
Laporan AS menyebut, Vinicius mahu terlebih dulu bertemu pengurusan kelab selepas kembali daripada cuti untuk mengetahui peranannya dalam projek baharu di bawah kendalian Jose Mourinho.
Pengendali baharu Real Madrid itu juga dilaporkan mahu mengekalkan Vinicius kerana melihat pemain itu sebagai tonggak penting dalam membentuk jentera serangan pasukan bersama Mbappe dan Jude Bellingham.
Mourinho percaya kehilangan Vinicius akan menjadi satu kerugian besar dan mahu memastikan trio serangan baharu Real Madrid mampu menjadi antara yang paling digeruni di Eropah.
Walaupun minat daripada Arsenal, Liverpool dan Manchester City semakin kuat, perkembangan terkini menunjukkan Vinicius masih mahu menulis lebih banyak sejarah bersama Real Madrid.
© New Straits Times Press (M) Bhd




