hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kami sekeluarga masih terkejut dengan berita yang menimpa abang, saya rasa macam tak percaya apa yang berlaku tetapi kami reda.
“Kami berharap jenazah abang dapat dibawa pulang ke tanah air untuk dikebumikan di sini,” kata Ain Sephia.
Ain Sephia, 25, adalah adik kepada Ahmad Shah, 26, yang dilaporkan maut dipercayai ditikam dalam pergaduhan berkumpulan di Korea Selatan, hari ini.
Menurutnya, dia dimaklumkan kejadian menimpa abangnya itu kira-kira 2.40 pagi selepas menghubungi kakak iparnya, Nurcahaya Ruslan yang kemudian memaklumkan Ahmad Shah sudah meninggal dunia.
“Pada mulanya kakak ipar hubungi saya pada 1.40 pagi tetapi saya tak perasan dan selepas itu mak pula hubungi beritahu abang kena tikam.
“Saya kemudian terus telefon kakak ipar sebelum dia beritahu abang sudah tiada dan ketika itu mereka sudah berada di hospital.
“Saya dimaklumkan abang sudah menjalani proses bedah siasat dan isterinya juga sudah memberi keterangan di balai polis tengah hari tadi.
“Saya difahamkan semua suspek terbabit dalam kejadian itu sudah ditahan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, malam ini.
Katanya, Ahmad Shah yang juga abang sulungnya itu bekerja di sebuah kilang dan berada di Korea Selatan sejak tujuh tahun lalu serta menetap di negara berkenaan bersama isterinya.
Menurutnya, ketika kejadian kakak iparnya turut berada di lokasi.
Katanya, dia dimaklumkan abangnya dihubungi seorang rakan yang meminta bantuan kerana berlaku pergaduhan serta dia mahu membantu meleraikan pergaduhan itu.
“Ketika itu abang sedang tidur sebelum dihubungi rakannya yang beritahu ada pergaduhan dan minta bantuan.
“Abang pergi dan kakak ipar juga tergerak hati mahu ikut sekali.
“Tak sangka rupanya ada sekumpulan lelaki dan rakan abang seorang saja ketika itu,” katanya.
Katanya, mereka sekeluarga terutama ibu bapanya berharap jenazah Ahmad Shah dapat dibawa pulang dan dikebumikan di Bandar Tasik Puteri, Rawang kerana kos pengebumian di Korea Selatan lebih mahal termasuk kos sewa tanah.
“Pada mulanya memang mahu kebumikan abang di sana tetapi sebab kos terlalu tinggi kami sepakat bawa jenazah pulang.
“Anggaran kos bawa pulang jenazah antara RM50,000 hingga RM60,000 dan itu belum termasuk kos lain.
“Kos hospital sebanyak RM18,000 sudah dibayar oleh kakak ipar dan sumbangan rakan mereka di sana.
“Abang anak yang sangat baik dan suka membantu orang.
“Ketika dia sakit sebelum ini ramai yang ziarah dia namun saya tak sangka kejadian ini berlaku kepadanya,” katanya.
Ain Sephia berkata, kali terakhir abangnya pulang ke Malaysia pada 2023 namun setiap hari akan menghubungi ibu mereka dan dijangka pulang pada Disember ini kerana mereka sekeluarga akan menunaikan umrah pada Januari tahun hadapan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun RHB Bank bernombor 16431700083563 atas nama Ain Sephia Fabian (adik) atau akaun Industrial Bank Of Korea (IBK) bernombor 05610528301010 atas nama Nurcahaya Ruslan (isteri).
Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk pengurusan jenazah di Korea Selatan termasuk urusan hospital, dokumen, van jenazah dan kos pengurusan selain kos penghantaran jenazah pulang ke Malaysia serta urusan berkaitan di Malaysia.
Terdahulu media Korea Selatan melaporkan, seorang rakyat Malaysia maut dalam satu pergaduhan berkumpulan membabitkan warga asing di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara.
Susulan itu, anggota Balai Polis Eumseong menahan seorang lelaki berusia 40-an yang juga rakyat Malaysia yang disyaki terbabit dalam kes bunuh serta beberapa kesalahan lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




