am@hmetro.com.my
Seremban: Perlawanan bola sepak di Residensi Prima Bandar Ekar Rantau, di sini, bertukar tragedi apabila seorang lelaki tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia, hari ini.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 11.30 itu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke hospital.
“Pada jam 11.35 pagi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima maklumat mengenai seorang lelaki tempatan yang dikatakan rebah ketika menjadi penjaga gol pertandingan sepakan penalti.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah di tempat kejadian.
“Pertandingan berkenaan anjuran Pemuda BN Cawangan Rembau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ketika kejadian, isteri lelaki yang berusia 45 tahun berkenaan turut berada di padang bola sepak berkenaan untuk memberi sokongan moral.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini untuk tindakan lanjut.
“Difahamkan, mangsa ada sejarah masalah sakit jantung dan masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) Serdang,” katanya.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak lengkap berhubung kejadian ini bagi menghormati privasi keluarga mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




