Madrid: Jurulatih skuad bola sepak Sepanyol, Luis de la Fuente meluangkan masa melawat mangsa yang dipindahkan akibat kebakaran hutan yang melanda wilayah Madrid, hari ini.
Pengendali yang membawa Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2026 itu mengunjungi hampir 300 penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan di Las Rozas, di barat ibu negara Sepanyol, selain bertemu sukarelawan dan anggota perkhidmatan kecemasan.
Menurut De la Fuente, kehadirannya adalah bagi memberikan sokongan moral kepada mangsa yang berdepan detik sukar susulan bencana berkenaan.
“Menjadi tanggungjawab semua orang untuk membantu dan menaikkan semangat mereka dalam saat-saat tragik seperti ini.
“Saya bangga dapat bersama mereka ketika ini… ia menjadikan kita lebih berperikemanusiaan,” katanya kepada penyiar TVE.
Beliau turut menegaskan semua mangsa yang dipindahkan dan mereka yang masih terkurung di kediaman masing-masing mendapat sokongan seluruh rakyat Sepanyol.
“Mereka mendapat sokongan seluruh negara, sama seperti sokongan yang kami terima ketika beraksi di padang bola sepak,” katanya.
Sebahagian keluarga yang dipindahkan turut ditempatkan di pusat latihan Persekutuan Bolasepak Sepanyol di Las Rozas.
Kira-kira 75,000 penduduk terpaksa dipindahkan akibat kebakaran hutan yang melanda kawasan sekitar Madrid dan wilayah berhampiran termasuk Valencia.
De la Fuente sebelum ini mencipta kejayaan bersejarah apabila membimbing Sepanyol menjuarai Piala Dunia buat kali kedua selepas menewaskan Argentina 1-0 pada aksi final di New Jersey, 19 Julai lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




