PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka meneruskan dagangan dalam aliran stabil dengan kecenderungan meningkat secara sederhana pada minggu ini, disokong oleh daya tahan ekonomi domestik serta musim pengumuman keputusan kewangan syarikat yang masih berlangsung.
FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) dijangka bergerak dalam lingkungan 1,720 hingga 1,750 mata bagi tempoh tiga hingga enam bulan akan datang dan berpotensi mengukuh ke paras 1,780 hingga 1,820 mata, disokong peningkatan sentimen pelabur dan prospek ekonomi yang lebih positif.
Pensyarah Kanan Sekolah Perakaunan dan Kewangan, Taylor’s Business School, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, walaupun pasaran mempunyai ruang untuk mencatatkan kenaikan, pelabur perlu mengekalkan jangkaan yang realistik memandangkan ketidaktentuan global masih mempengaruhi sentimen pelaburan.
Katanya, pelabur kini menilai prestasi ekonomi Malaysia yang kekal kukuh berbanding ketidaktentuan luaran, khususnya berkaitan hala tuju kadar faedah global dan prospek permintaan luar.
“Selagi tiada kejutan negatif daripada faktor luaran, FBM KLCI dijangka kekal kukuh dan beransur-ansur menguji paras yang lebih tinggi, namun kenaikan dijangka berlaku secara sederhana dan bukannya agresif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai kemungkinan indeks penanda aras itu mencapai paras psikologi 1,800 mata, beliau berkata, sasaran tersebut boleh dicapai, namun mengekalkan dagangan di atas paras berkenaan merupakan cabaran yang lebih besar.
Menurutnya, pasaran memerlukan sokongan lebih kukuh daripada pelabur institusi dan pelabur asing bagi membolehkan indeks bergerak melepasi paras tersebut secara mampan.
“Penilaian saham juga perlu disokong oleh pertumbuhan pendapatan korporat yang nyata, bukan sekadar dipacu sentimen pasaran ,” katanya.
Beliau berkata, antara faktor yang mampu mengangkat indeks ke paras tersebut ialah peningkatan momentum keuntungan syarikat-syarikat tersenarai, khususnya dalam sektor berwajaran tinggi seperti perbankan, perladangan dan utiliti.
Katanya, pertumbuhan pinjaman yang lebih kukuh, margin keuntungan yang stabil serta perbelanjaan pengguna domestik yang kekal berdaya tahan akan meningkatkan keyakinan terhadap prestasi korporat.
“Selain itu, aliran masuk dana asing secara konsisten amat penting kerana saham berkapitalisasi besar banyak bergantung kepada penyertaan pelabur institusi untuk menggerakkan indeks.
“Pada masa sama, kestabilan faktor luaran termasuk hala tuju kadar faedah global yang lebih jelas serta pertumbuhan ekonomi serantau yang mampan akan membantu mengurangkan ketidaktentuan dan menyokong penilaian pasaran yang lebih tinggi,” katanya.
Mengulas impak musim keputusan kewangan syarikat, khususnya sektor perbankan, Paul Anthony berkata, prestasi bank memberi kesan langsung kepada keseluruhan pasaran memandangkan sektor itu merupakan antara penyumbang terbesar kepada FBM KLCI.
Menurutnya, pertumbuhan keuntungan yang kukuh serta kualiti aset yang stabil memberi petunjuk bahawa keadaan kredit dan aktiviti ekonomi domestik berada pada tahap sihat, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur.
“Bagaimanapun, sekiranya margin keuntungan semakin mengecil atau unjuran syarikat menjadi lebih berhati-hati, potensi kenaikan pasaran juga akan menjadi lebih terhad.
“Secara keseluruhannya, keputusan kewangan sektor perbankan setakat ini masih menyokong sentimen pasaran, namun belum cukup kukuh untuk mencetuskan rali yang agresif. Justeru, pasaran dijangka kekal positif tetapi bergerak dalam keadaan lebih terkawal,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, Bursa Malaysia dijangka meneruskan momentum penurunan pada minggu hadapan dengan indeks penanda aras diunjur bergerak dalam julat 1,700 hingga 1,730 mata, dipengaruhi sentimen pasaran yang masih berhati-hati.
Katanya, kenaikan yang dicatatkan pada minggu lalu hanya bersifat sementara berikutan ketiadaan pemangkin atau petunjuk baharu yang mampu menyokong pengukuhan pasaran secara berterusan.
“Selain itu, aktiviti dagangan dijangka kekal sederhana dengan nilai dagangan harian dianggarkan sekitar RM3.2 bilion, lebih rendah berbanding minggu sebelumnya apabila pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
“Prestasi pasaran yang hambar turut dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik di Asia Barat yang kembali memuncak, sekali gus meningkatkan sentimen mengelak risiko dalam kalangan pelabur dan mengehadkan minat terhadap ekuiti,” katanya.
Secara keseluruhannya, beliau berkata, pasaran dijangka kekal berhati-hati sepanjang minggu hadapan selagi tiada perkembangan positif baharu yang mampu mengembalikan keyakinan pelabur. – UTUSAN




