Mayat 5 pendaki Bosnia ditemukan di gunung Rusia

Mayat 5 pendaki Bosnia ditemukan di gunung Rusia

Moscow: Rusia pada Ahad memaklumkan pihaknya menemukan mayat lima pendaki asing yang dipercayai warga Bosnia di Gunung Elbrus, menurut pihak berkuasa dan media kerajaan.

Penemuan itu dibuat selepas pihak berkuasa sebelum ini melaporkan, mereka menemukan dua mayat daripada sekumpulan tujuh pendaki yang mendaki gunung tertinggi Rusia itu.

Pihak berkuasa turut memaklumkan, usaha mencari tiga lagi mangsa sedang dijalankan sebelum ini.

“Menurut penyiasat, pada 24 Julai, sekumpulan tujuh pendaki yang juga warga asing, sedang mendaki Gunung Elbrus.

“Pada petang berikutnya, disebabkan keadaan cuaca yang semakin buruk dengan cepat, kumpulan itu tersasar daripada laluan,” kata pejabat pendakwa raya tempatan.

Katanya, salah seorang pendaki kemudian turun dan memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa dua anggota kumpulan itu jatuh sakit pada ketinggian 5,100 meter (m) sebelum meninggal dunia.

Pejabat pendakwa raya berkata, pasukan penyelamat kemudian menemukan seorang lagi pendaki yang terselamat serta mayat tiga lagi pendaki yang maut.

Sementara itu, Menteri Luar Bosnia, Elmedin Konakovic mengesahkan, laporan mengenai kematian itu yang disifatkannya sebagai ‘tragedi besar’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top