MAM sambut baik kepulangan F1 ke SIC, berita gembira serantau

MAM sambut baik kepulangan F1 ke SIC, berita gembira serantau

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) menyifatkan kepulangan Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober depan sebagai berita amat menggembirakan buat peminat sukan permotoran di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara.

Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, ramai pihak sebelum ini menganggap F1 tidak akan kembali ke litar beprestij itu selepas kali terakhir menganjurkan Grand Prix (GP) Malaysia pada 2017.

“Ini adalah berita yang cukup mengujakan buat peminat sukan permotoran di Malaysia serta seluruh Asia Tenggara dan bagi ramai pihak, kepulangan F1 ke Sepang suatu ketika dahulu dilihat hampir mustahil.

“Saya yakin ia akan disambut dengan penuh keterujaan oleh peminat dari seluruh rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mokhzani, kepulangan F1 bukan sahaja menggembirakan peminat setia sukan itu, malah memberi peluang kepada generasi baharu merasai pengalaman menyaksikan perlumbaan berprestij itu di depan mata.

“Ia turut memberi peluang kepada generasi baharu peminat Formula Satu, yang mendapat inspirasi menerusi siri Drive to Survive di Netflix, untuk merasai sendiri debaran perlumbaan Formula Satu secara langsung di Sepang, dan bukan sekadar menontonnya di skrin,” katanya.

Beliau turut menegaskan MAM komited memastikan semua pegawai teknikal dan perlumbaan berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik bagi menjayakan penganjuran semula perlumbaan berprestij itu.

“MAM komited memastikan pegawai kami bersedia sepenuhnya. Saya yakin kami bersedia untuk kepulangan Formula Satu dan sekali lagi menganjurkan acara bertaraf dunia,” katanya.

Terdahulu F1 mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah GP Bahrain di Malaysia selepas persetujuan dicapai antara F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Perlumbaan yang dijadual berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober itu akan mengekalkan nama asalnya sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia, tertakluk kepada persetujuan akhir dan kelulusan rasmi termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.

Penganjuran berkenaan memastikan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 musim 2026 selepas perlumbaan itu dibatalkan pada awal musim ini susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top