sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua jurulatih interim skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi amaran kepada anak buah agar tidak memandang ‘sebelah mata’ kepada Laos pada perlawanan kedua Piala ASEAN di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.
Bagi Cheng Hoe, hasil analisis dilakukan barisan jurulatih mendapati Laos memiliki ramai pemain muda yang bekerja keras selain mengamalkan corak permainan pantas menerusi serangan balas, walaupun mereka tewas 0-5 di tangan Thailand pada perlawanan pertama Kumpulan B, sebelum ini.
“Kami tidak boleh memandang rendah pasukan Laos walaupun mereka tewas kepada Thailand.
“Saya sudah menganalisis permainan mereka dan mereka adalah pasukan yang agak muda. Kami perlu menghormati mereka.
“Saya berharap semua pemain berada dalam keadaan terbaik terutama dari segi kecergasan. Kami akan menilai sama ada perlu melakukan penggiliran pemain atau mengekalkan kesebelasan utama yang diturunkan ketika menentang Myanmar,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.
Laos tewas 0-5 kepada Thailand dalam aksi pembukaan, Sabtu lalu manakala Harimau Malaya membuka kempen dengan kemenangan 2-1 ke atas Myanmar.
Justeru, skuad negara perlu memanfaatkan peluang untuk meraih kemenangan kerana perbezaan jaringan mungkin menjadi penentu kemaraan ke separuh akhir.
Mengulas ancaman bakal dihadapi, Cheng Hoe berkata, Laos yang dibimbing jurulatih baharu pastinya mahu bangkit selepas kekalahan dalam aksi pertama.
“Mereka dibarisi ramai pemain bawah 23 tahun dan mempunyai motivasi tinggi.
“Mereka banyak bergantung kepada serangan balas pantas untuk mencipta peluang menjaringkan gol, jadi kami perlu bersedia dan tidak boleh mudah kehilangan bola di kawasan sendiri.
“Pada masa sama, kami perlu lebih klinikal apabila mempunyai peluang di hadapan gol,” katanya.
Jurulatih berusia 58 tahun itu melihat gabungan pemain berpengalaman, pemain muda dan beberapa muka baharu negara semakin menunjukkan keserasian dengan pemain senior memainkan peranan penting membimbing mereka.
“Walaupun kami agak bergelut pada separuh masa pertama ketika menentang Myanmar, pasukan berjaya bangkit pada babak kedua.
“Semangat itu menunjukkan kami mampu mempamerkan permainan lebih baik.
“Tetapi dalam bola sepak, semangat sahaja tidak mencukupi. Pemain perlu bijak mengawal tempo dan menguruskan perlawanan.
“Saya fikir pemain berpengalaman banyak membantu pasukan, selain kami berjaya menyudahkan peluang yang terhasil dengan baik,” katanya.
Menyentuh mengenai lima pemain yang membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya ketika menentang Myanmar, Cheng Hoe menyifatkan mereka menunjukkan perkembangan positif dan hanya memerlukan lebih banyak peluang di pentas antarabangsa.
Beliau turut memaklumkan Jimmy Raymond yang mengalami kecederaan buku lali ketika aksi persahabatan sebelum ini semakin pulih, namun tahap kecergasannya masih bergantung kepada penilaian pasukan perubatan sebelum keputusan sama ada diturunkan atau sebaliknya, malam esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




