‘Tak akan Sanusi nak cakap perkauman, PN pun ada pengundi bukan Melayu’ – Shahidan

‘Tak akan Sanusi nak cakap perkauman, PN pun ada pengundi bukan Melayu’ – Shahidan

KANGAR – Seorang pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) tampil mempertahankan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa berbaur perkauman dengan menegaskan ucapan pemimpin itu telah disalah tafsir dan diputar belit oleh pihak tertentu.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, tidak munasabah untuk mendakwa Muhammad Sanusi mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman memandangkan PN sendiri mempunyai sokongan daripada pelbagai kaum termasuk masyarakat Cina, India dan Siam.

“Tak akan Sanusi nak cakap perkauman. Dia pun bukan manusia yang tak mengaji sekolah.

“Kami ada pengundi orang Cina, India dan kaum-kaum lain, termasuk masyarakat Siam,” katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun media sosialnya pada Isnin.

Shahidan yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, masyarakat pelbagai kaum di negeri-negeri yang ditadbir PN hidup dalam suasana aman dan harmoni tanpa sebarang masalah.

Menurutnya, di Perlis, kira-kira 85 peratus penduduk terdiri daripada Bumiputera, manakala sekitar 10 peratus adalah masyarakat Cina dan selebihnya kaum India.

“Di Perlis kami hidup aman dan damai, tidak ada masalah. Di Kedah pun orang India dan Cina hidup aman dan damai.

“Begitu juga di Kelantan yang sering diperkatakan. Orang Cina dan penganut Buddha hidup aman. Patung Buddha tidur yang besar juga berada di Kelantan, pernahkah kerajaan negeri mengganggu atau mengambil tindakan terhadapnya,” ujarnya.

Beliau berkata, ucapan Muhammad Sanusi sebenarnya hanya menyentuh hakikat bahawa setiap bangsa mempunyai negara masing-masing, bukannya menggesa mana-mana kaum meninggalkan Malaysia seperti yang didakwa.

“Beliau sebut tentang bangsa-bangsa di dunia ada negaranya. Jadi kita semua rakyat Malaysia, negara kita ialah Malaysia. Jangan putar belit kenyataan itu,” katanya.

Ahli Parlimen Arau itu turut mendakwa terdapat pemimpin tertentu yang telah mengaitkan ucapan berkenaan dengan sentimen perkauman sehingga mencetuskan polemik yang tidak sepatutnya.

Katanya, beliau telah meneliti sendiri ucapan penuh Muhammad Sanusi dan mendapati kenyataan tersebut tidak membawa maksud menghina atau menolak mana-mana kaum.

“Saya tengok sendiri ucapannya. Tak salah orang Melayu bersatu-padu, tak salah orang Cina bersatu-padu, tak salah orang India bersatu-padu,yang penting kita semua hidup dalam keadaan aman dan damai,” jelasnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan mengakui terdapat kekhilafan apabila mengulangi ucapan Sanusi dengan menggunakan perkataan ‘balik’.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu tidak menjejaskan asas laporan polis yang dibuat terhadap Menteri Besar Kedah berhubung ucapan yang didakwa berpotensi membangkitkan sentimen perkauman.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden turut mendakwa Dr Sathia memanipulasi ucapan Sanusi dan menuntut beliau menarik balik kenyataan serta memohon maaf secara terbuka.

Susulan kontroversi itu, beberapa laporan polis turut dibuat terhadap Dr Sathia bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Scroll to Top