EURO: Southgate terima pemain 'diboo' penyokong England

EURO: Southgate terima pemain 'diboo' penyokong England

LONDON: Gareth Southgate mengakui England perlu menerima reaksi marah dan cemuhan daripada penyokongnya selepas pasukan itu seri 0-0 menentang Scotland dalam saingan Euro 2020.

Pasukan Southgate diejek sehingga wisel penamat di Stadium Wembley semalam, selepas hanya berjaya melakukan satu percubaan tepat ke arah pintu gol lawan.

Lima hari selepas memulakan kempen Kumpulan D dengan kemenangan tipis menewaskan Croatia, England sekali lagi gagal memberikan persembahan bertenaga dan mantap dalam barisan serangannya.

Bagaimanapun, The Three Lions tetap berada di landasan untuk melayakkan diri ke kelompok 16 terakhir, dengan bakal menentang Republik Czech pada Selasa ini.

Tetapi, pemain harus meningkatkan persembahan mereka sekiranya mahu memenangi perlawanan berkenaan.

“Ini adalah kejohanan besar dan sangat penting apabila anda tidak boleh menang dan untuk tidak kalah,” kata Southgate.

“Sudah tentu berasa sukar dalam tempoh 15 minit terakhir permainan, di mana semua peminat sangat mengharapkan anda menang dengan mengalahkan Scotland.

“Tetapi, kita harus mengutip mata dan ia adalah perkara penting dan menjadi objektif pasukan ini untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

“Saya faham kami berada di Wembley dan ia adalah perlawanan menentang Scotland, di mana semua orang mahu kami menang. Kami mahu menang, tetapi dalam konteks kejohanan kelayakan adalah perkara pertama dan paling penting,” kata jurulatih itu.

Southgate juga berasakan kemarahan oleh penyokong England apabila dia mengeluarkan perancang Manchester City, Phil Foden pada babak kedua dan juga menggantikan penyerang, Harry Kane yang berada di luar prestasi sebenar.

Jurulatih itu turut mengakui tekanan bakal diterimanya di England sekiranya pasukan yang dipimpin gagal ketika menghadapi Republik Czech.

“Ini adalah perkara yang perlu kita hadapi dan ia akan menjadi pengalaman yang mencabar bagi pemain,” kata Southgate. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top