PRN N9: Hentikan isu 3R, hormati teguran Istana Negeri Sembilan – Ahmad Zahid

PRN N9: Hentikan isu 3R, hormati teguran Istana Negeri Sembilan – Ahmad Zahid

am@hmetro.com.my

Seremban: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak supaya mengelak menyentuh isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R) dalam tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, BN sentiasa berpegang teguh kepada prinsip untuk tidak menyentuh isu sensitif berkenaan sepanjang berkempen.

“Alhamdulillah, kempen yang kita jalankan tidak menyentuh perkara itu. Mungkin ada pihak lain yang menyentuh sebab kami berpegang bahawa institusi Raja-raja mesti dipertahankan.

“Dalam konteks Negeri Sembilan, institusi Undang Yang Empat juga harus dipertahankan. Kami tidak pernah menyentuh, malah amat menghormati institusi berkenaan,” katanya.

Hari ini, Istana Negeri Sembilan meminta semua parti politik supaya tidak mengaitkan institusi itu dalam ceramah dan kempen PRN Negeri Sembilan Ke-16.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, dalam kenyataan berkata, Istana Negeri Sembilan menegaskan institusi diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terbabit dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.

Istana Negeri Sembilan turut menasihatkan semua calon parti yang bertanding mengelak daripada memainkan isu 3R serta sentiasa berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negeri ini.

Ahmad Zahid berkata, peringatan pihak Istana Negeri Sembilan perlu dijadikan iktibar dan menghentikan sebarang usaha yang boleh menjejaskan keharmonian serta kedaulatan institusi beraja di negara ini.

“Saya ingin ingatkanlah mana-mana pihak yang menyentuh mengenai perkara itu, tak perlu sentuhlah. Ini merupakan satu ingatan yang baik oleh pihak istana,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top