SHAH ALAM – Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa Pas memilih rakan dan lawan politik bukan kerana ketuanan Melayu atau ketuanan Islam, sebaliknya kerana kerusi.
Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) pada 1999, Pas memilih untuk bekerjasama dengan Parti Keadilan Nasional dan DAP.
Menurutnya, kerjasama itu menguntungkan Pas apabila memenangi 27 kerusi Parlimen, iaitu jumlah terbanyak dalam sejarah parti itu pada ketika berkenaan.
“PRU15 pula Pas pilih berkawan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Untung Pas menang 43 kerusi Parlimen, terbanyak dalam sejarah setakat ini.
“Pertama kali dalam sejarah juga kerusi Pas lebih banyak daripada kerusi UMNO. UMNO cuma menang 26 kerusi,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Isnin.
Marzuki berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan ketuanan Melayu yang didukung UMNO dan ketuanan Islam yang diperjuangkan Pas saling melengkapi.
Menurut Abdul Hadi, kedua-dua gagasan itu bukan cabaran ideologi dalam kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya boleh digabungkan secara harmoni kerana identiti Melayu dan Islam saling melengkapi.
Mengulas lanjut, Marzuki berkata, bagi menghadapi PRU16, Pas memilih untuk berkawan dengan UMNO.
“Mungkin Pas dah congak berapa kerusi dia boleh menang.
“Harap UMNO tak buat u-turn,” katanya.



