Di Maria yakin Messi lagi boleh beraksi

Di Maria yakin Messi lagi boleh beraksi

Buenos Aires: Bekas pemain Argentina, Angel Di Maria percaya Lionel Messi masih mampu meneruskan karier di pentas tertinggi untuk beberapa tahun lagi walaupun spekulasi mengenai kemungkinan persaraannya terus menjadi perhatian.

Messi sekali lagi membuktikan kehebatannya pada Piala Dunia 2026 apabila membantu Argentina melangkah ke final, walaupun gagal mengulangi kejayaan edisi 2022 selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol pada aksi kemuncak.

Kapten Argentina itu mencipta sejarah apabila menjadi pemain kedua selepas legenda Brazil, Cafu, yang beraksi dalam tiga final Piala Dunia lelaki selepas edisi 2014, 2022 dan 2026.

Pada usia 39 tahun 25 hari, Messi turut muncul pemain kedua tertua beraksi dalam final Piala Dunia selepas penjaga gol Itali, Dino Zoff, yang mencipta rekod ketika berusia 40 tahun 133 hari pada 1982.

Bagaimanapun, Messi masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan selepas Piala Dunia kali ini.

Rakan sepasukannya, Leandro Paredes sebelum ini mendakwa pemain berusia 39 tahun itu sudah membuat keputusan untuk bersara sebelum final menentang Sepanyol, namun Di Maria melihat sebaliknya.

Di Maria yang menjadi wira Argentina ketika menjaringkan gol dalam final Piala Dunia 2022, percaya Messi masih memiliki kemampuan untuk terus beraksi.

“Leo perlu terus bermain selagi dia mahu. Saya fikir dia boleh meneruskan karier untuk beberapa tahun lagi.

“Pada usia 39 tahun, dia menunjukkan bahawa dia masih antara pemain terbaik dan mampu terus menjadi salah seorang pemain terbaik dalam sejarah.

“Dia tiada had, tiada apa lagi yang perlu dibuktikan,” kata Di Maria.

Messi menamatkan Piala Dunia 2026 dengan lapan gol dan 12 sumbangan gol keseluruhan, hanya di belakang penyerang Perancis, Kylian Mbappe yang menjaringkan 10 gol serta mencatat 14 sumbangan gol.

Selain masa depan Messi, Di Maria turut berharap jurulatih Argentina, Lionel Scaloni kekal mengendalikan pasukan kebangsaan selepas kekalahan di final.

“Scaloni adalah pemimpin pasukan kebangsaan. Saya harap dia kekal demi semua pihak.

“Dia sedang membangunkan generasi pemain muda yang baik dan setiap perkara kecil sangat membantu.

“Saya harap dia teruskan kerana sebagai rakyat Argentina, saya mahu melihatnya kekal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top