Rakyat Malaysia disiasat kes tikam

Rakyat Malaysia disiasat kes tikam

PETALING JAYA: Beberapa rakyat Malaysia kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Korea Selatan susulan kematian Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, akibat ditikam dalam satu insiden di negara itu semalam.

Kementerian Luar memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Seoul akan terus mendapatkan maklumat yang telah disahkan daripada pihak berkuasa Korea Selatan.

Selain itu, kementerian memberikan bantuan konsular yang sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terlibat.

Menurut kementerian, segala bantuan diberikan selaras dengan undang-undang Korea Selatan serta obligasi antarabangsa yang berkaitan.

“Kedutaan Malaysia di Seoul juga sedang memberikan bantuan yang diperlukan kepada keluarga mangsa yang maut dalam insiden berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Wisma Putra memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi waris mangsa dan sedang menghulurkan bantuan konsular termasuk memudah cara urusan dokumentasi, pengurusan pengebumian serta penghantaran pulang jenazah ke Malaysia.

Dalam pada itu, kementerian merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menegaskan komitmennya untuk terus melindungi kebajikan serta kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Pada masa sama, Wisma Putra mengingatkan semua rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke luar negara supaya sentiasa menghormati dan mematuhi undang-undang serta peraturan negara yang dikunjungi.

“Kejadian ini masih dalam siasatan pihak berkuasa Korea Selatan. Sehubungan itu, kementerian tidak akan mendedahkan butiran lanjut mengenai mangsa atau keadaan yang membawa kepada insiden berkenaan bagi menghormati siasatan yang masih berjalan serta privasi keluarga mangsa,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top