Praia: Pertahanan Cape Verde, Sidny Lopes Cabral mencipta satu lagi sejarah apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Hyundai Gol Terbaik Kejohanan pada Piala Dunia 2026 hasil jaringan sensasinya ketika menentang Argentina.
Jaringan lencong menakjubkan Cabral ke penjuru atas gawang ketika aksi pusingan 32 terbaik di Miami menewaskan pencalonan beberapa gol bintang dunia termasuk Lionel Messi dan Kylian Mbappe selepas dipilih menerusi undian peminat FIFA.
Gol itu hadir ketika Cape Verde mengikat juara bertahan Argentina 2-2 dalam masa tambahan sebelum akhirnya tewas 3-2 dalam perlawanan dramatik berkenaan.
Pemain berusia 23 tahun itu membantu Cape Verde mencipta sejarah apabila mara ke pusingan kalah mati pada penampilan sulung mereka di pentas Piala Dunia, sekali gus muncul antara pasukan kejutan kejohanan.
Anugerah itu menambah lagi pencapaian manis buat Cape Verde selepas penjaga gol berpengalaman mereka, Vozinha, sebelum ini turut dipilih dalam Pasukan Impian Piala Dunia menerusi undian peminat FIFA.
© New Straits Times Press (M) Bhd




