Global Wakaf Al-Quran perkukuh jaringan antarabangsa menerusi kerjasama strategik

Global Wakaf Al-Quran perkukuh jaringan antarabangsa menerusi kerjasama strategik

Kuala Lumpur: Global Wakaf Al-Quran (GWAQ) memperkukuh usaha memperluaskan inisiatif wakaf ke peringkat antarabangsa menerusi pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi membangunkan ekosistem wakaf digital yang lebih mampan dan mudah diakses.

Pemeteraian itu diadakan bersempena Persidangan Antarabangsa PERKIM 2026, membabitkan institusi Islam, syarikat teknologi dan pelbagai pemegang taruh industri dalam usaha memperkasakan inovasi digital serta pembangunan komuniti di peringkat nasional dan global.

Pengerusi Bersama Global Wakaf Al-Quran, Profesor Datuk Dr Mazlan berkata, masa depan wakaf bergantung kepada kerjasama rentas sektor bagi memastikan manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai masyarakat.

“Global Wakaf Al-Quran bukan sekadar sebuah platform wakaf digital, sebaliknya satu gerakan global yang menghubungkan institusi, komuniti dan rakan strategik bagi memastikan manfaat wakaf dapat disampaikan kepada lebih ramai masyarakat di seluruh dunia,” katanya.

Menurutnya, kerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) akan membantu memperluaskan penyediaan Al-Quran terjemahan bagi menyokong usaha dakwah di Malaysia dan rantau ini.

Beliau berkata, Yayasan Restu menerusi Nasyrul Quran yang juga kemudahan percetakan Al-Quran kedua terbesar di dunia, sudah menerbitkan Al-Quran terjemahan dalam 32 bahasa termasuk bahasa Iban serta beberapa dialek serantau.

Katanya, kerjasama dengan Tulus Digital pula akan menyokong pembangunan penyelesaian digital yang inovatif bagi memperkukuh kemampanan dan pertumbuhan jangka panjang platform Global Wakaf Al-Quran.

“Kolaborasi bersama Islamica pula akan memperkukuh usaha komunikasi antarabangsa GWAQ dengan memperkenalkan misi dan impaknya kepada komuniti global menerusi rangkaian media cetak dan digital strategik yang dibangunkan sejak 1992,” katanya.

Majlis berkenaan menyaksikan dua sesi pemeteraian MoU iaitu sesi pertama membabitkan Global Wakaf Al-Quran bersama PERKIM, Tulus Digital dan Islamica.

Sesi kedua pula membabitkan PERKIM bersama ToyyibPay, i-Wealth X, MobilityOne, MAIDAM dan PEYATIM bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang wakaf, inovasi digital dan pembangunan komuniti.

Selain itu, Global Wakaf Al-Quran yang dikuasakan oleh ToyyibPay turut membolehkan platform itu menerima pembayaran QR rentas sempadan menerusi kerjasama strategik dengan Boost.

Melalui rangkaian kerjasama berkenaan, GWAQ menyasarkan untuk memperkukuh hubungan dengan institusi Islam, organisasi kemanusiaan, syarikat teknologi serta rakan media di Asia Tenggara, rantau Teluk, Afrika, Eropah, Amerika Selatan dan negara lain.

Kempen Global Wakaf Al-Quran adalah inisiatif kerjasama Yayasan Restu dan ToyyibPay bagi mengagihkan Al-Quran terjemahan kepada individu serta komuniti di seluruh dunia, khususnya di kawasan yang mempunyai akses terhad akibat faktor kos, cabaran pengedaran dan kekurangan kemudahan percetakan tempatan.

Dalam perkembangan lain, persidangan itu turut menyaksikan pelancaran semula Majalah Islamica pada sesi petang yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Majalah berprestij ini terdahulu berpusat di Jordan sebelum penerbitannya dihentikan pada 2009 yang sebelum ini pernah berada dalam kelompok 10 majalah dunia yang paling banyak dibaca pemimpin politik dan tokoh korporat antarabangsa.

“Kini, Islamica kembali diterbitkan dengan Malaysia sebagai pusat penerbitan baharunya.

“Edisi baharu Islamica akan dilancarkan secara rasmi tahun ini dan diterbitkan dalam dua versi, iaitu fizikal dan dalam talian dengan kandungan merangkumi pelbagai isu termasuk politik antarabangsa, kepimpinan, teknologi dan pembangunan.

“Bagi edisi pertama, sebanyak 1,000 naskhah akan dicetak untuk pasaran Malaysia dan dijual di kedai buku utama, manakala 5,000 naskhah tambahan dijangka dicetak bagi memenuhi permintaan pasaran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top