126 etnik Rohingya berkhemah depan UNHCR dibawa ke IPK KL untuk saringan dokumentasi

126 etnik Rohingya berkhemah depan UNHCR dibawa ke IPK KL untuk saringan dokumentasi

Kuala Lumpur: Polis memindahkan 126 pelarian Rohingya yang mendirikan khemah dan menjadikan kawasan di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling di sini sebagai penempatan sementara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kawasan di hadapan pejabat UNHCR itu adalah lokasi sensitif dan tidak boleh dijadikan penempatan sementara oleh mana-mana individu atau komuniti.

Beliau berkata polis bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur mengambil tindakan memindahkan kesemua pelarian itu ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi menjalankan proses saringan dan dokumentasi.

“Kami akan buat saringan di tempat yang lebih sesuai. Mereka yang tidak mempunyai dokumen akan ditahan manakala mereka yang mempunyai dokumen akan disahkan terlebih dahulu dengan UNHCR.

“UNHCR bersama unit sokongan dan badan bukan kerajaan (NGO) akan mencari pilihan penempatan yang bersesuaian bagi mereka yang mempunyai dokumen sah kerana kami tidak boleh mengambil tindakan di bawah Akta Imigresen terhadap pemegang kad UNHCR yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata 58 daripada 126 pelarian Rohingya yang dipindahkan itu adalah orang dewasa.

Beliau berkata setakat ini kesemua pelarian terbabit memberikan kerjasama kepada polis sepanjang operasi dijalankan dan tiada sebarang insiden menghalang tugas penjawat awam dilaporkan.

“Pihak kami juga belum dapat mengesahkan dakwaan mengenai ketibaan dua lagi bas yang dipercayai membawa pelarian Rohingya ke ibu negara,” katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan tinjauan di lokasi mendapati operasi pemindahan bermula pada 8.20 malam dengan menggunakan empat trak polis, selepas dua trak yang disediakan pada awalnya tidak mencukupi berikutan kebanyakan pelarian itu turut membawa bagasi dan barangan peribadi.

Difahamkan, kesemua warga asing itu akan menjalani pemeriksaan identiti sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.

Media sebelum ini melaporkan kumpulan pelarian itu tiba di ibu negara pada awal pagi tadi dengan menaiki tiga bas selepas diusir keluar oleh penduduk tempatan dari penempatan mereka di Pulau Pinang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top