syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kesesuaian seorang pelajar untuk berkahwin ketika masih dalam pengajian bukanlah sesuatu yang boleh disamaratakan kepada semua individu, sebaliknya bergantung kepada tahap kematangan diri dan keupayaan mengurus tanggungjawab secara seimbang.
Timbalan Ketua Pegawai Psikologi Unit Kaunseling, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (PTNC HEPA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Rosni Mohammad berkata, setiap pelajar mempunyai tahap pemikiran, kewangan kukuh, emosi dan keupayaan berbeza dalam menggalas tanggungjawab dalam rumah tangga.
Katanya, faktor mendorong perkahwinan awal dalam kalangan pelajar adalah komitmen cinta sehingga mereka memilih untuk menghalalkan hubungan.
“Kepatuhan kepada agama turut menjadi sebab apabila pasangan beranggapan perkahwinan dapat mengelakkan mereka daripada terjebak kepada maksiat.
“Desakan keluarga, hamil tanpa nikah dan mencari sokongan emosi menyumbang kepada faktor berkenaan.
“Pasangan yang sedang belajar tetapi berkahwin awal akan alami masalah pengurusan emosi, tetapi akan sejahtera emosi jika mempunyai pasangan bijak urus emosi dengan baik,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa kegagalan salah seorang pasangan memikul tanggungjawab rumah tangga boleh menjejaskan kesihatan emosi, sekali gus mengundang tekanan, kebimbangan dan kemurungan.
Rosni berkata, masalah kewangan turut menjadi tekanan besar kerana kebanyakan pelajar masih bergantung kepada pinjaman pendidikan atau bantuan keluarga tanpa pendapatan tetap.
Katanya, keadaan itu memberi kesan kepada prestasi akademik apabila fokus terhadap pelajaran semakin merosot akibat beban tanggungjawab berganda.
“Perkahwinan semasa belajar boleh berjaya jika dirancang dengan matang, tetapi berisiko jika dibuat atas dasar emosi semata-mata. Lebih baik tangguh jika belum benar-benar bersedia, kerana perkahwinan adalah tanggungjawab jangka panjang, bukan keputusan sementara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




