Belanja RM50 seminggu nak terus hidup

Belanja RM50 seminggu nak terus hidup

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perkahwinan ketika masih bergelar pelajar diploma bukan sekadar kisah cinta, sebaliknya realiti getir apabila pasangan muda ini pernah berjimat dengan hanya RM50 seminggu untuk meneruskan kehidupan.

Anak muda yang ketika ini sudah bergelar suami selama lebih setahun, Muhammad Hazim Irsyad Mohd Zaidi, 21, berkata, dia mendirikan rumah tangga pada 28 Jun 2025 ketika masih mengikuti pengajian Diploma Komunikasi dan Media di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau.

Menurut Muhammad Hazim Irsyad yang juga seorang jurugambar, isterinya adalah rakan sekursus yang dikenalinya sejak awal kemasukan mereka ke universiti pada 2023.

“Ketika itu kami masih 19 tahun, selalu keluar bersama dengan kawan-kawan.

“Kami lebih banyak berkawan dalam satu kumpulan sebelum bercinta sekejap dan terus berkahwin. Alhamdulillah sekarang kami bahagia dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur empat bulan,” katanya.

Dia yang berasal dari Selangor berkata, keputusan berkahwin dipercepatkan selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada keluarga selain hubungan kedua-dua keluarga yang baik.

“Bila bapa dia nampak kami kerap keluar bersama, dia terus berseloroh suruh kahwin dan dari situ kami mula kumpul duit sikit demi sikit,” katanya.

Muhammad Hazim Irsyad berkata, kos perkahwinan mereka ditanggung bersama oleh kedua-dua keluarga dengan majlis diadakan secara gabungan.

Menurutnya, cabaran sebenar bermula selepas berkahwin apabila dia perlu membahagikan masa antara pelajaran, kerja sambilan dan tanggungjawab sebagai suami serta bapa.

“Saya buat macam-macam kerja sambilan ‘rider’ dan kerja hotel untuk kumpul duit.

“Keadaan kewangan peringkat awal perkahwinan agak mencabar sehingga terpaksa berjimat cermat dalam perbelanjaan harian.

“Memang pernah sampai RM50 tu kami guna untuk seminggu, kalau ada makanan di rumah keluarga isteri, saya makan, kalau tak ada kadang malam baru makan mi segera,” katanya.

Dalam pada itu, kata Muhammad Hazim Irsyad, dia hanya menyimpan wang untuk keperluan asas seperti makan dan minyak, manakala selebihnya diserahkan kepada isterinya untuk menguruskan perbelanjaan lain.

Katanya, mereka kini menetap bersama keluarga isterinya sementara mengumpul simpanan untuk menyewa rumah sendiri demi mendapatkan lebih privasi.

Muhammad Hazim Irsyad berkata, walaupun berdepan kekangan kewangan, dia tetap memastikan pelajaran tidak terabai dan merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah bersama isterinya.

“Alhamdulillah keputusan pembelajaran kami ketika diploma tak terjejas, malah isteri saya berjaya dapat Anugerah Dekan selepas berkahwin,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah menyesal dengan keputusan berkahwin awal walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

“Kalau dapat undur masa pun kami tetap akan pilih untuk berkahwin, cuma nasihat saya, siapa nak kahwin muda kena betul-betul bersedia terutama dari segi kewangan dan mental,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top