Sanusi hantar LOD kepada individu putar belit kenyataan di PRN N9

Sanusi hantar LOD kepada individu putar belit kenyataan di PRN N9

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan pihak peguamnya dalam proses menyerahkan surat tuntutan (LOD) kepada pihak yang didakwa memutar belit kenyataan dalam ceramah yang dibuatnya di Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah itu berkata, lebih ramai individu berada dalam senarai untuk menerima LOD, sekiranya mereka didapati melakukan tindakan sama termasuk memutar belit, menokok tambah dan mengulas kenyataannya di luar konteks sebenar.

Katanya, tindakan undang-undang itu adalah bagi memberi pengajaran kepada pihak terbabit agar tidak memanipulasi kenyataan dalam ceramah yang dibuatnya sebelum ini.

“Penyerahan LOD ini sedang diuruskan oleh pasukan peguam. Mereka memutar belit, menokok tambah, mengada-adakan perkara yang tiada, memberi komen berasaskan sumber yang telah diputar belit tanpa diperiksa, selain memesong dan memanipulasi ucapan saya di luar maksud sebenar.

“Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua,” katanya dalam kenyataan di akaun media sosialnya di sini, hari ini.

Berdasarkan paparan LOD yang disertakan di akaun media sosialnya itu, individu pertama yang menerima surat berkenaan adalah Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan.

Sabtu lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, akan mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman terhadap mana-mana pihak yang didakwa memanipulasi kenyataannya berkaitan sejarah demi kepentingan politik.

Beliau turut memaklumkan laporan polis akan dibuat terhadap pihak yang didakwa memutar belit kenyataan berkenaan, sambil menegaskan ucapan yang disampaikan hanyalah berdasarkan fakta sejarah dan tidak ditujukan kepada mana-mana kaum atau pihak tertentu.

Berikutan itu kelmarin, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda mendakwa Sathia mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung petikan ceramah yang dibuat Muhammad Sanusi.

Beliau berkata, tuduhan kononnya Sanusi menyebut frasa ‘Kalau India balik ke India, kalau Cina balik ke China’ adalah tidak tepat, menghasut dan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat di negara ini.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dalam ceramahnya mengeluarkan satu ucapan yang mencetuskan kontroversi menyebut ‘Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top