Sebahagian besar projek infrastruktur bagi menyokong kemasukan murid Tahun Satu berusia enam tahun pada sesi persekolahan 2027 disiapkan lebih awal daripada jadual, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurutnya, pencapaian itu hasil komitmen semua pihak yang bertungkus lumus memastikan kemudahan sekolah di tahap terbaik sebelum sesi persekolahan bermula.
“Dalam persiapan kita, khususnya persiapan infrastruktur untuk menerima kehadiran anak-anak berusia enam tahun pada tahun hadapan, projek telah pun ada yang siap ‘ahead of time’, bermakna jauh lebih awal daripada jadual,” katanya.
Foto: Bernama
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya, hari ini.
Selain infrastruktur, beliau berkata, pihaknya turut membuat persiapan rapi membabitkan penempatan guru dan keperluan lain berdasarkan unjuran kemasukan murid bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.
Bagaimanapun, katanya, KPM masih menerima pertanyaan serta permohonan pendaftaran daripada ibu bapa, walaupun proses perancangan bagi sesi persekolahan tahun depan sedang dimuktamadkan.
Jelasnya, sambutan berterusan itu menunjukkan ibu bapa semakin yakin terhadap pelaksanaan dasar berkenaan serta memberi kepercayaan kepada KPM untuk menguruskan pelaksanaannya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memberitahu Dewan Rakyat, antara persiapan KPM bagi kemasukan dua kohort murid Tahun Satu pada 2027, termasuk membina 2,596 bilik darjah baharu dan mengambil 3,150 guru secara kontrak perkhidmatan (COS) berdasarkan jumlah pendaftaran semasa.
Jelasnya, KPM menerima 73,386 permohonan pendaftaran Tahun Satu bagi kanak-kanak berusia enam tahun untuk sesi persekolahan 2027, manakala kanak-kanak berumur tujuh tahun seramai 405,033 orang.
Sumber: Bernama via Free Malaysia Today




