“India Balik India, Cina Balik China” – Dakwa Kenyataan Diputar Belit, Sanusi Hantar LOD Kepada Dr. Sathia

“India Balik India, Cina Balik China” – Dakwa Kenyataan Diputar Belit, Sanusi Hantar LOD Kepada Dr. Sathia

Oh! Negara

Sanusi hantar LOD kepada Sathia berhubung dakwaan fitnah isu balik ke India dan balik ke China.

Panas lagi nampaknya isu membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor apabila beliau kini mengambil tindakan undang-undang mendakwa kenyataannya telah diputar belit.

BACA: “Melayu Ada Tanah Melayu Ni Saja” – Ucapan Jadi Kontroversi, Sanusi Beri Penjelasan

Memetik laporan Malaysia Gazette, Sanusi telah menghantar surat tuntutan atau Letter of Demand (LOD) kepada Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan.

Dakwa kenyataan beri gambaran salah

Surat tuntutan bertarikh 27 Julai 2026 itu dikeluarkan oleh firma guaman Faizi & Associates selepas Sathia didakwa membuat kenyataan media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sekitar 24 Julai lalu.

Rakaman kenyataan tersebut kemudian dipercayai dimuat naik ke akaun TikTok milik Sathia.

Pihak Sanusi mendakwa kenyataan berkenaan seolah-olah menggambarkan beliau pernah meminta masyarakat India “balik ke India” dan masyarakat Cina “balik ke China”.

Katanya, dakwaan tersebut bukan sahaja tidak benar, malah dikatakan telah memutarbelitkan fakta serta disunting dengan cara yang boleh mengelirukan orang ramai.

Sanusi juga mendakwa kenyataan itu telah memberi kesan kepada nama baik dan reputasinya sebagai seorang pemimpin politik.

Menurut peguamnya, kenyataan sebenar Sanusi adalah mengenai kedudukan orang Melayu yang hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air, manakala bangsa lain mempunyai negara asal masing-masing.

Pihak Sanusi menegaskan kenyataan itu bukan arahan supaya mana-mana kaum meninggalkan Malaysia.

Susulan itu, Sanusi menuntut Sathia supaya menarik balik dan memadamkan keseluruhan video TikTok tersebut dalam tempoh tujuh hari selepas menerima surat tuntutan berkenaan.

Beliau turut mahu video itu tidak diterbitkan semula, sama ada dalam bentuk asal, suntingan atau apa-apa bentuk lain.

Dalam masa sama, Sanusi menuntut permohonan maaf secara terbuka dibuat menerusi akaun TikTok Sathia.

Permohonan maaf itu juga perlu diterbitkan di akhbar tempatan, laman sesawang dan platform media sosial yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Selain permohonan maaf, pihak Sanusi turut meminta Sathia mencadangkan jumlah ganti rugi munasabah untuk dipersetujui bersama.

Jika tuntutan itu gagal dipenuhi dalam tempoh ditetapkan, firma guaman berkenaan memaklumkan Sanusi berhak meneruskan tindakan undang-undang.

Tindakan itu termasuk mendapatkan perintah injunksi tanpa perlu memberi sebarang notis lanjut kepada Sathia.



OH! MEDIA


Kongsikan artikel ini


Kongsikan artikel ini jika anda rasa lebih ramai patut mengetahuinya.














BULETIN OH! MEDIA


Baca Yang Paling Best Je.


Berita terbaik terus ke e-mel anda setiap malam. Percuma!









Pautan artikel telah disalin.



author avatar

Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.

Scroll to Top