Prosiding hina mahkamah terhadap pembesar memerintah Negeri Sembilan ditangguhkan

Prosiding hina mahkamah terhadap pembesar memerintah Negeri Sembilan ditangguhkan

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban hari ini menangguhkan prosiding hina mahkamah terhadap para pembesar memerintah Negeri Sembilan berhubung injunksi interim dalam kes saman pemula oleh para pembesar memerintah berkenaan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Hakim Roz Mawar Rozain selepas mendengar permohonan yang dibuat ketua peguam yang mewakili para pembesar berkenaan, Tuan Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Menurut peguam itu, pihaknya telah memohon kepada mahkamah rayuan untuk menggantung prosiding mahkamah tinggi berkaitan isu hina mahkamah tersebut.

“Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan ini esok,” katanya.

Peguam Steven Thiru yang mewakili defendan pertama dalam kes saman pemula berkenaan, Raja Norazli Raja Nordin serta
defendan kedua iaitu Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal yang mewakili defendan ketiga iaitu kerajaan negeri tidak membantah permohonan berkenaan.

Berikutan itu hakim mengangguhkan keseluruhan kes itu yang mengandungi beberapa lampiran pada 28 September ini sementara menanti keputusan mahkamah rayuan.

Pada 8 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Seremban telah membenarkan permohonan Raja Norazli dan DKU Negeri Sembilan untuk memulakan prosiding hina mahkamah terhadap para pembesar berkenaan berhubung injunksi interim dalam kes berkenaan.

Para pembesar tersebut yang juga plaintif dalam kes saman pemula tersebut terdiri daripada Datuk Mubarak Thahak yang didakwa sudah dipecat sebagai Undang Luak Sungai Ujong; Undang Luak Je­lebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.

Turut dinamakan sebagai plaintiff ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.

Pada 5 Jun lalu, Raja Norazli dan DKU telah memperoleh perintah sementara daripada mahkamah terhadap para plaintif kes berkenaan.

Sementara itu, perbicaraan kes saman pemula itu hari ini menyaksikan perkarangan mahkamah di kawal ketat dengan menghadkan kehadiran orang ramai ke mahkamah.

Dua buah khemah didirikan berhampiran pintu pagar utama untuk memeriksa senarai kehadiran orang ramai ke mahkamah.-UTUSAN

Scroll to Top