Kawasan pejabat UNHCR kembali tenang selepas pelarian Rohingya dipindahkan

Kawasan pejabat UNHCR kembali tenang selepas pelarian Rohingya dipindahkan

harisfadli@hmetro.com.my 

Kuala Lumpur: Suasana di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) kembali tenang susulan ratusan warga Rohingya yang berkampung di kawasan itu sudah dipindahkan.

Tinjauan di lokasi setakat 11 pagi hari ini mendapati bukan sahaja etnik Rohingya malah pelarian daripada beberapa negara lain yang berkhemah di kawasan itu turut tidak kelihatan. 

Hanya sekumpulan warga asing dilihat hadir untuk berurusan di pejabat UNHCR yang beroperasi seperti biasa di lokasi berkenaan termasuk seorang dua pencari suaka yang memegang sepanduk menuntut diberikan kad pelarian.

Semalam media melaporkan, polis memindahkan 110 pelarian Rohingya dan tiga pelarian masing-masing daripada Iraq, Iran, serta Indonesia ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dilapor berkata, kawasan di hadapan pejabat UNHCR itu adalah lokasi sensitif dan tidak boleh dijadikan penempatan sementara oleh mana-mana individu atau komuniti.

Sebelum itu Harian Metro melaporkan ratusan pelarian Rohingya berkampung di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, di sini, semalam.

Difahamkan, semua warga asing terbabit tiba di ibu negara awal pagi semalam menaiki tiga bas selepas mereka diusir keluar oleh penduduk di penempatan mereka di Pulau Pinang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top