nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu memastikan pemantauan kandungan digital sepanjang tempoh kempen pilihan raya dilakukan secara adil tanpa menyekat mana-mana parti politik yang bertanding.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, platform digital kini menjadi sebahagian daripada instrumen penting dalam proses demokrasi dan kempen pilihan raya, justeru semua parti perlu diberikan ruang yang sama rata.
“Kalau boleh MCMC perlu adanya unit di kawasan-kawasan yang bertanding supaya dia dapat beri laporan sama ada (terdapat) kempen kebencian, isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R) ataupun banyaknya kempen taktik kotor. Jadi, turunkan mesej-mesej daripada mana-mana parti politik.
“Sepatutnya perkara ini tak berlaku sebab platform digital ini suka tidak suka adalah satu platform politik juga. Kita tidak boleh menganggap yang digital ni bukan salah satu daripada instrumen demokrasi berparlimen, demokrasi pilihan raya.
“Jadi saya haraplah MCMC dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh memantau supaya terdapatnya ‘level playing field’ bagi semua parti-parti yang bertanding,”katanya kepada BH, hari ini.
Azalina berkata, masyarakat tidak boleh lagi melihat medium digital sebagai sesuatu yang berbeza daripada kaedah kempen konvensional kerana ia kini menjadi saluran utama penyampaian mesej politik kepada pengundi.
Katanya, perkembangan teknologi menyebabkan pendekatan kempen berubah daripada ceramah secara fizikal kepada penggunaan platform digital yang mampu mencapai lebih ramai pengundi.
“Dulu orang boleh berceramah dan kita dengar apa dia bercakap sekarang ni tak payah berceramah, kadang mungkin di segi digital tu (sebagai bentuk) penyampaian.
“Jadi saya haraplah tiada tindakan yang tidak adil daripada agensi kerajaan terhadap parti-parti politik yang bertanding,” katanya.
Beliau menegaskan, kebebasan bersuara dalam ruang digital perlu dihormati selaras dengan prinsip demokrasi, namun pemantauan tetap diperlukan bagi memastikan tiada penyalahgunaan platform berkenaan.
“Sebab ini elemen demokrasi. Tidak boleh kita tiba-tiba ada adanya platform digital, kita melihatnya pada elemen yang berlainan. Ia sama dari segi freedom of speech (kebebasan bersuara),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




