Kezaliman bermula di situ! Jangan lindungi kes buli demi jaga imej, prestasi sekolah- PM Anwar

Kezaliman bermula di situ! Jangan lindungi kes buli demi jaga imej, prestasi sekolah- PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pihak pengurusan sekolah supaya tidak menyembunyikan kes buli atau penderaan semata-mata bagi menjaga imej serta prestasi institusi pendidikan.

Beliau berkata, tindakan melindungi kes sedemikian hanya akan memburukkan keadaan apabila masalah yang pada awalnya kecil boleh berkembang menjadi isu lebih serius sekiranya gagal ditangani segera.

“Kezaliman itu bermula di situ (buli dan keganasan). Tindakan ganas, gopoh dan zalim bermula di situ. Sebab itu di peringkat awal, perkara itu mesti dibetulkan walau sebesar atau sekecil mana sekalipun,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Pendidikan (KPM), hari ini.

Anwar berkata, pengetua dan guru besar perlu bersikap terbuka dalam menangani isu buli serta tidak melihat pendedahan kes sebagai sesuatu yang boleh mencalarkan reputasi sekolah.

Menurut beliau, kejadian buli di sesebuah sekolah tidak bermakna keseluruhan institusi pendidikan itu gagal, sebaliknya ia perlu dianggap sebagai perkara yang memerlukan tindakan segera.

“Saya di ruang ini mengingatkan pengetua dan guru besar supaya menjadikan perkara ini sebagai satu sikap yang amat penting. Tidak bermakna apabila berlaku satu kes yang heboh satu negara, bermakna sekolah itu gagal.
“Saya tidak mewakili pandangan itu. Kalau guru besar memilih untuk mendedahkan, saya hormat dia kerana dia tidak cuba melindungi imej sekolah, jaga prestasi sekolah,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keselamatan dan kesejahteraan murid perlu sentiasa menjadi keutamaan kerana ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan harapan mereka berada dalam persekitaran yang selamat.

Artikel lain: Segera bertindak lindungi mangsa! PM Anwar gesa tak sorok kes buli demi imej sekolah

Dalam pada itu, Anwar berkata maklum balas secara langsung daripada murid ketika turun ke lapangan sering memberikan gambaran lebih tepat mengenai keadaan sebenar di sekolah.

Beliau berkata, maklumat yang dikongsi oleh murid adakalanya berbeza daripada laporan rasmi kerana pihak pengurusan sekolah perlu mengambil kira pelbagai faktor sebelum memberikan penjelasan.

“Anak-anak ini saya senang sebab saya anggap macam cucu-cucu saya yang dia cerita lurus.

“Kalau tanya KP (Ketua Pengarah), (jawapan) dia dah lapik-lapik sikit sebab dia nak pertahan.
“Pergi ke sekolah tanya pengetua, pergi ke pengarah pendidikan, mereka juga terpaksa (menjelaskan) semuanya okay,”ujar beliau.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Scroll to Top