Wani Kayrie bukti usaha keras akan membuahkan hasil

Wani Kayrie bukti usaha keras akan membuahkan hasil

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Wani Kayrie mengakui pernah berdepan laluan sukar apabila lagu-lagunya sukar disiarkan di radio, namun tidak sesekali menjadi halangan buatnya untuk terus berusaha.

Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah, 26, berkata berkat kesungguhannya yang tidak berputus asa membuahkan hasil apabila bakat nyanyiannya kini dikenali melangkaui Asia dan Asia Tenggara (ASEAN).

“Dulu, memang susah juga lagu saya nak disiarkan radio. Namun, semua itu bergantung rezeki dan saya percaya kena terus usaha. Sekarang, Alhamdulillah lagu saya seperti Cak Cak Cekuk diterima baik pendengar.

“Tidak hanya itu, saya juga dapat pengiktirafan anugerah nyanyian di luar negara termasuk rezeki membuat persembahan ke peringkat Asia dan ASEAN. Jadi, semua ini memang atas usaha juga.

“Sebab ada saya dengar orang selalu kata, Wani Kayrie sekarang bertuah kerana pihak label (syarikat rakaman) yang sangat ‘supportive’ dan sebagainya. Namun, mereka mungkin terlepas pandang untuk lihat betapa saya berusaha,” katanya.

Katanya, bagi memastikan dapat mengekal prestasinya kepada peminat, dia juga tidak melepaskan peluang dengan aktif mengemaskini media sosial serta selalu membuat siaran langsung.

“Sekarang kena rajin buat ‘live’ di media sosial, selalu ‘update’ (kemaskini) hantaran dan bersikap terbuka untuk ubah imej dengan tidak lokek berbelanja untuk nampak cantik ketika ‘show’.

“Termasuk, bayar penari juga untuk tampil dalam persembahan. Cuma, orang tidak nampak apa yang kita sudah keluarkan. Semua kejayaan saya dapat sekarang ini adalah atas dasar ‘research’, belajar dan ‘improvised’ diri sendiri.

“Ia penting dilakukan supaya bila orang tengok persembahan kita, boleh nampak ada pembaharuan dan kelainan. Tak adalah kemunculan Wani Kayrie itu bosan dan statik (benda sama) sahaja.

“Kita kena berani cuba buat macam-macam untuk orang nak tengok kita selalu. Saya harus lakukan ini sebelum ‘time frame’ itu tiba kerana tidak selamanya kita akan ada tawaran menyanyi,” katanya.

Wani yang mula menyanyi sejak zaman kanak-kanak, pernah popular dengan lagu Jangan Jangan pada 2015 serta terbabit menyertai beberapa pertandingan termasuk Big Stage musim pertama pada 2018.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top