mhafis@mediaprima.com.my
Putrajaya: Malaysia tegas dengan pendirian dokumen perjalanan dikeluarkan Israel tidak diiktiraf bagi tujuan kemasukan ke negara ini selaras dengan dasar negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, pihaknya mengambil maklum dan menyokong sepenuhnya pendirian tegas Kerajaan MADANI sebagaimana yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung pendirian Malaysia terhadap Israel dan komitmen negara dalam mempertahankan hak rakyat Palestin serta memelihara kepentingan nasional.
Menurutnya, selaras dengan pendirian itu, KDN akan terus memastikan segala aspek berkaitan kawalan sempadan, pemeriksaan imigresen, penguatkuasaan undang-undang serta keselamatan dalam negeri dilaksanakan secara tegas, profesional dan tanpa kompromi.
“Bagi maksud pelaksanaan dasar Kerajaan, KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus menguatkuasakan semua peruntukan undang-undang berkaitan kemasukan warga asing ke Malaysia berdasarkan Akta Imigresen 1959/1963 [Akta 155], Akta Pasport 1966 [Akta 160], peraturan-peraturan imigresen yang sedang berkuat kuasa serta penilaian keselamatan oleh agensi-agensi keselamatan negara.
“Sehubungan itu, dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Israel tidak diiktiraf bagi tujuan kemasukan ke Malaysia, selaras dengan dasar Kerajaan Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.
“Di samping itu, setiap permohonan kemasukan warga asing ke Malaysia akan melalui proses pemeriksaan imigresen, semakan keselamatan serta penilaian risiko yang menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mana-mana individu yang dikenal pasti boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam, kepentingan negara atau termasuk dalam kategori imigran yang dilarang mengikut Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963 tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia atau akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.
“KDN ingin menegaskan bahawa pengurusan pintu masuk negara bukan sekadar melibatkan urusan imigresen, malah adalah sebahagian daripada sistem keselamatan negara yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan KDN dalam memastikan setiap keputusan berkaitan kemasukan warga asing mengambil kira aspek keselamatan nasional, kedaulatan negara, kepentingan awam serta pematuhan kepada undang-undang Malaysia,” katanya.
Menurut KDN, KDN akan terus memperkukuh kawalan sempadan negara melalui penggunaan teknologi, perkongsian risikan, pemprofilan risiko serta penguatkuasaan yang bersepadu bagi memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan bebas daripada sebarang ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara.
“KDN kekal komited untuk melaksanakan segala dasar dan keputusan kerajaan secara profesional, telus dan berintegriti demi memelihara keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Anwar menegaskan Malaysia akan terus berpegang kepada pendirian menyekat kemasukan warganegara Israel ke negara ini meskipun lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menyuarakan rasa tidak berpuas hati atas keputusan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




