Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan tindakan segera diambil terhadap kewujudan penempatan haram warga asing di Kampung Budiman, Setia Alam yang dipercayai telah wujud sejak puluhan tahun lalu.
MBSA akan ambil tindakan segera
Memetik laporan daripada Sinar Harian, arahan itu dibuat susulan keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Keselamatan (MTKN) Negeri Selangor yang menetapkan tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan terhadap sebarang pencerobohan tanah.
Menurut Amirudin, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengambil tindakan termasuk mengeluarkan notis kepada pemilik tanah yang terlibat bagi membolehkan proses penguatkuasaan dilaksanakan dengan segera.
“Hari ini apabila perkara ini dibangkitkan, saya sudah maklumkan kepada pihak terbabit dan percaya tindakan segera akan dilakukan terutama notis kepada tuan tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Pelancaran Festival Turath Islami Selangor di Bilik Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Selasa.
Penempatan dibina di ladang kelapa sawit
Sebelum ini, media melaporkan ratusan penempatan haram yang dipercayai didiami ribuan warga asing masih wujud di kawasan pinggir bandar Shah Alam meskipun beberapa siri serbuan dan operasi penguatkuasaan telah dijalankan.
Tinjauan di Persiaran Setia Makmur, Setia Alam dan Jalan Hamzah, Kampung Budiman turut mendapati terdapat penempatan haram dibina di kawasan ladang kelapa sawit, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan penguatkuasaan.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang menyiasat dakwaan kewujudan perkampungan haram warga asing di kawasan berkenaan walaupun tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan pada awal April lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi akan dijalankan sekiranya siasatan mendapati dakwaan tersebut adalah benar.
Tindakan akan diambil kepada mana-mana pencerobohan tanah
Mengulas lanjut perkara tersebut, Amirudin menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pencerobohan tanah tanpa mengira pihak yang terlibat.
Ujarnya, jika kawasan tersebut merupakan tanah kerajaan, penguatkuasaan akan dilaksanakan, manakala bagi tanah persendirian, pemilik tanah perlu mengambil tindakan terlebih dahulu.
“Isu ini bukan membabitkan warga asing semata-mata, sebaliknya tindakan akan diambil terhadap sebarang bentuk pencerobohan tanah kerajaan,” tambah beliau.
Sumber: Sinar Harian (Mohd Izzatul Izuan Tahir)






