Seremban: Sambutan masyarakat India terhadap program yang dianjurkan Pakatan Harapan (PH) menjadi antara petunjuk penting dalam menilai sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Naib Presiden PKR Datuk Seri R. Ramanan berkata dakwaan parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MIC bahawa pengundi India lebih cenderung menyokong BN, perlu dilihat berdasarkan sambutan sebenar masyarakat terhadap program yang dianjurkan.
“Semua orang boleh membuat dakwaan tetapi apabila kita lihat sambutan daripada program yang mereka buat tidak menunjukkan begitu.
“Kalau kita nak tahu sama ada komuniti India sokong atau tidak, mereka suka atau tidak, kita boleh lihat daripada program yang kita buat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata esok akan diadakan satu sesi pertemuan antara komuniti India bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia sebagai peluang untuk semua pihak melihat sendiri penerimaan serta sokongan masyarakat terhadap kepimpinan kerajaan.
Sementara itu, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata ramalan keputusan bagi sesuatu pilihan raya daripada penganalisis politik atau pandangan pihak tertentu tidak semestinya menggambarkan keputusan sebenar pada hari pengundian.
Beliau berkata, kejayaan membuat ramalan tepat pada PRN Johor tidak bermakna akan tepat pada PRN Negeri Sembilan memandangkan setiap negeri mempunyai dinamika politik yang berbeza.
“Kita tahu Johor merupakan medan pertempuran yang sukar dan ia tidak sama dengan Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita sebagai mengulas analisis oleh Profesor Adjung Universiti Taylor’s Dr Ong Kian Ming yang dilapor menjangkakan BN dan Perikatan Nasional (PN) akan memenangi PRN Negeri Sembilan.
Sebanyak 867,151 pemilih biasa layak mengundi pada PRN Negeri Sembilan, Sabtu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




