Kelindan culik remaja perempuan dipenjara 38 bulan

Kelindan culik remaja perempuan dipenjara 38 bulan

KULIM: Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara 38 bulan terhadap seorang kelindan lori, selepas dia mengaku bersalah menculik seorang pelajar tingkatan dua di depan sebuah sekolah di Padang Serai, minggu lalu.

Tertuduh, M. Shyrichs, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menculik kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Lela Pahlawan, Padang Serai daripada jagaan sah ibunya pada pukul 6.30 petang, 23 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 363 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda.

Selain itu, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Fadilla Mohamad Fauzi, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), V. Nyanasegaran.

Peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai kelindan lori, masih bujang dan memperoleh upah harian.

Katanya, pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa mahkamah selain mendakwa perbuatan itu dilakukan kerana terdesak disebabkan individu tertentu, namun pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran selain kes itu membabitkan kepentingan awam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 38 bulan bagi pertuduhan menculik dan penjara lima bulan bagi pertuduhan mendatangkan kecederaan. Kedua-dua hukuman diperintah dijalankan serentak dan bermula dari tarikh tangkapan tertuduh. – UTUSAN

Scroll to Top