mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pegawai polis yang digantung tugas sejak 2024 dan dipercayai dalang sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan dan luar negara, antara lima lelaki yang ditahan dalam Op Waja oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi itu bermula Sabtu lalu hingga semalam yang membabitkan JSJN Bukit Aman serta JSJN Kuala Lumpur dan Selangor.
Menurutnya, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket berkenaan susulan penahanan lima lelaki tempatan berusia antara 39 hingga 46 tahun di sekitar Cheras dan Selangor.
“Polis turut merampas 410 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 425.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM21.3 juta.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan membabitkan ahli-ahli sindiket dari Kelantan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hari ini.
Hussein berkata, sindiket terbabit menggunakan rumah teres di sekitar Lembah Klang sebagai lokasi penyimpanan, sebelum dadah diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.
“Semakan mendapati pegawai polis yang digantung tugas itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Semua suspek direman selama enam hari bermula 26 hingga 31 Julai bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, saki-baki ahli sindiket sedang dikenal pasti dan JSJN akan mengambil tindakan agresif untuk menghapuskan aktiviti pengedaran dadah.
“PDRM tidak sesekali berkompromi dengan pegawai polis atau sesiapa sahaja yang menjadi petualang dalam pasukan dengan penglibatan dalam aktiviti pengedaran dadah,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd




