PUTRAJAYA – Amalan pemberian bonus yang terlalu tinggi kepada kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dihentikan bagi memastikan tadbir urus institusi itu lebih berhemah serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH dalam laporannya menyatakan, usaha juga perlu dilakukan bagi mendapatkan semula bonus yang telah dibayar kepada Ahli Lembaga dan Pengurusan TH Properties kerana ia diberikan tanpa mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.
Menurut laporan itu, langkah berkenaan penting bagi memastikan amalan pengurusan kewangan dan tadbir urus dalam TH diperkukuhkan.
“Usaha perlu dibuat bagi mendapatkan semula bonus yang telah diberikan kepada Ahli Lembaga dan Pengurusan TH Properties.
“Ini memandangkan bonus berkenaan diberikan tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” menurut laporan berkenaan pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Laporan RCI TH setebal 211 halaman diterbitkan
RCI dedah pelantikan ahli politik dalam TH jejaskan kredibiliti institusi
RCI syor Akta Tabung Haji dipinda, kuasa menteri terlalu luas
Kuasa menteri tamatkan khidmat pimpinan TH tanpa sebab perlu dikaji semula
RCI Tabung Haji: Keputusan hibah, bantuan haji dipengaruhi unsur politik
Hibah tinggi 2014 hingga 2017 lampaui kemampuan kewangan LTH
Media sebelum ini melaporkan, Jemaah Menteri bersetuju menyahklasifikasikan dan mendedahkan Laporan RCI mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 selepas menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH serta memperhalusi kandungan laporan itu dalam mesyuarat kabinet.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, laporan tersebut mengandungi 25 syor penambahbaikan, dengan 75 peratus daripadanya telah berjaya dilaksanakan oleh pengurusan tertinggi TH.
Selain itu, RCI turut mengesyorkan pembabitan Ahli Lembaga dan Pengurusan TH dalam pengurusan syarikat subsidiari LTH dihadkan bagi mengelakkan konflik kepentingan serta membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab di TH.
Dalam laporan sama, RCI berpandangan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak seharusnya bertindak sebagai badan pengawal selia TH.
Menurutnya, sekiranya pengawalseliaan masih diperlukan, ia wajar dihadkan kepada aspek kawalan rizab dan pengurusan kecairan sahaja.
“Bagaimanapun, pengawalseliaan tersebut tidak seharusnya tertakluk kepada Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759), Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (Akta 618),” jelas laporan itu.



