JIM Kedah tahan 129 PATI dalam serbuan di tapak pembinaan di Kulim

JIM Kedah tahan 129 PATI dalam serbuan di tapak pembinaan di Kulim

am@hmetro.com.my

Kulim: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 129 pendatang tanpa izin (PATI) dalam serbuan di kawasan pembinaan sebuah bangunan di daerah ini semalam.

JIM Kedah dalam kenyataannya berkata, dalam operasi bermula pada jam 10 pagi itu, sebahagian pekerja warga asing yang dipercayai PATI bertindak bersembunyi di kawasan tapak pembinaan yang berbahaya termasuk di atas struktur bangunan yang sedang dibina bagi mengelakkan daripada ditahan.

Serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam oleh sepasukan 20 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Kedah daripada Unit Tindakan Imigresen.

Ketika operasi dijalankan, sebahagian PATI melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.

Tindakan pantas anggota bagaimanapun berjaya mengawal keadaan dan menahan semua individu terbabit dengan mengutamakan aspek keselamatan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang operasi dijalankan.

Hasil pemeriksaan terhadap 159 orang di lokasi terbabit, didapati 30 daripadanya adalah warganegara Malaysia manakala 129 warga asing dikenal pasti di tapak pembinaan terbabit.

“Semua 129 warga asing itu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, antaranya tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

“Daripada jumlah tangkapan itu, 125 orang adalah lelaki dan empat daripadanya wanita yang membabitkan 100 warga Bangladesh, 11 warga Pakistan, 10 warga Indonesia dan lapan warga Myanmar.

“Semua PATI yang ditahan berusia antara 21 hingga 62 tahun dihantar ke Depot Imigresen Belantik bagi tujuan dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa,” katanya.

Menurutnya, JIM Kedah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.

“JIM turut mengingatkan mana-mana majikan supaya tidak menggaji, melindungi atau membenarkan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah untuk bekerja.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang didapati melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehadiran PATI atau sebarang pelanggaran undang-undang imigresen diseru menyalurkan maklumat melalui saluran aduan rasmi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top