PORT DICKSON – Rakyat Negeri Sembilan perlu memberi sokongan kepada calon Melayu yang diketengahkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, sekaligus menjadi peluang memperkukuhkan kedudukan kaum itu di dalam kerajaan sekiranya terus diberikan mandat.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, PH hanya memperuntukkan 11 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) kepada DAP.
“Kita hanya letakkan DAP bertanding di 11 kerusi untuk memastikan kekuatan orang Melayu dalam PH.
“Jadi saya memohon semua pengundi supaya memenangkan calon-calon Melayu PH. Insya-ALLAH kita akan menjadi sebuah parti yang lebih kuat lagi. Isunya apabila peluang itu tidak diberikan,” katanya kepada Sinar Harian.
Aminuddin berkata, PH kali ini mempertaruhkan barisan calon Melayu yang memiliki pelbagai latar belakang termasuk golongan agamawan dan profesional.
Ujarnya, antara golongan agamawan yang ditampilkan ialah calon DUN Sikamat, Paroi, Kota dan Pertang.
“Saya rasa golongan agamawan yang ditampilkan PH kali ini lebih ramai daripada yang ditawarkan oleh parti lawan.
“Hari ini kita juga mempunyai golongan profesional yang lebih hebat seperti doktor, tokoh korporat dan mereka yang terlibat dalam pentadbiran yang bukan dipilih secara sebarangan, sebaliknya merupakan golongan yang terlatih dan mempunyai kelayakan,” katanya.

Aminuddin (tengah) mendengar permasalahan penduduk DUN Linggi ketika turun berkempen. Foto: FB Aminuddin
Justeru ujar beliau, tidak timbul isu mengatakan kekuatan PH itu hanya datang daripada DAP semata-mata.
Aminuddin turut memaklumkan bahawa kerjasama antara PH dan DAP di Negeri Sembilan sepanjang dua penggal mentadbir negeri itu berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah.
Katanya, hubungan yang terjalin atas dasar saling menghormati membuktikan kerjasama dalam gabungan tersebut kekal kukuh sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran.
“Sepanjang lima tahun saya memimpin, saya tiada masalah dan tiada tekanan daripada DAP. Mereka lebih baik dan menghormati sebagai seorang kawan.
“Cuma orang nampak jumlah ADUN DAP dalam kerajaan ketika itu lebih ramai, dan jika nak ubah, inilah waktunya,” katanya.



