'Saya sudah reda' – Ibu rakyat Malaysia maut ditikam di Korea Selatan

'Saya sudah reda' – Ibu rakyat Malaysia maut ditikam di Korea Selatan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Rawang: Walaupun masih diselubungi kesedihan, ibu kepada rakyat Malaysia yang maut akibat ditikam di Korea Selatan, Zulfah Fadliani, 47, mengakui sudah reda dengan pemergian anaknya selepas jenazah selamat dikebumikan di tanah air, malam ini.

Dalam nada sebak, beliau berkata, kepulangan Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros untuk disemadikan di kampung halaman sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada seluruh ahli keluarga.

“Saya bersyukur, Alhamdulillah kerana rakyat Malaysia membantu keluarga kami sehingga urusan anak saya selesai dibawa pulang ke tanah air dan sampai ke tanah perkuburan.

“Saya sangat-sangat bersyukur. Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang membantu.

“Hanya Allah yang mampu membalas segala jasa dan kebaikan mereka,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri, di sini, malam ini.

Zulfah berkata, walaupun kehilangan anak tersayang amat sukar diterima, beliau memilih untuk reda dan menerima ketentuan Allah.

Beliau berkata, menantunya, Nurcahaya Ruslan, 30, dijangka pulang ke Malaysia sekitar September ini selepas menyelesaikan urusan berkaitan harta serta barangan milik Allahyarham di Korea Selatan.

Katanya, dia dan menantunya saling memberi semangat bagi menghadapi kehilangan Allahyarham.

“Insya-Allah dia akan balik sekitar September. Dia perlu menyelesaikan beberapa urusan termasuk menjual kereta dan menguruskan barang arwah sebelum pulang terus ke Malaysia.

“Sebahagian barang mungkin akan diposkan kerana itu mengambil sedikit masa untuk diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Zulfah turut menzahirkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang sentiasa membantu dan mendoakan sehingga proses pengebumian anaknya selesai.

Jenazah Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri pada jam 10 malam selepas selesai solat jenazah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top