suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Shah Alam: Tiga pengarah syarikat didakwa di dua Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan wang milik Pertubuhan Imaan Malaysia serta menerima wang hasil aktiviti haram dengan jumlah keseluruhan lebih RM10 juta.
Tertuduh ialah Muhammad Jantan, 32, yang juga Pengarah Ya Digital Agency Sdn Bhd; Wan Sharmaine Izani Wan Sarbi, 30, Pengarah SM Conveyor Sdn Bhd; serta Muhammad Ali, 32, yang turut memegang jawatan Pengarah SM Conveyor Sdn Bhd.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan dua hakim berasingan dan memohon untuk dibicarakan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat, Shafiq Mahadi dan Muhammad Amin Azmi.
Di Mahkamah Sesyen 1 Shah Alam, Muhammad Jantan berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana didakwa menyalahgunakan wang milik Pertubuhan Imaan Malaysia berjumlah RM1,227,491.23 antara Januari 2022 hingga Januari 2024.
Dia turut menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) kerana didakwa menerima wang berjumlah RM1,994,404.26 daripada akaun perbankan milik SM Conveyor Sdn Bhd ke akaun perbankannya dalam tempoh sama.
Sementara itu, Wan Sharmaine yang juga Pengarah SM Conveyor Sdn Bhd menghadapi 14 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) AMLATFPUAA kerana didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM995,947.01 antara Januari 2022 hingga Februari 2026.
Bagi prosiding di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin itu, Muhammad Jantan diwakili peguam Jason Singh manakala Wan Sharmaine diwakili peguam Shahrul Hamidi.
Mahkamah kemudian mengarahkan Muhammad Jantan membayar wang jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin, manakala Wan Sharmaine dikenakan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.
Kedua-dua tertuduh turut diarahkan melapor diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan, tidak berhubung atau mengganggu mana-mana saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 2 Shah Alam, Muhammad Ali berdepan lapan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA kerana didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1,353,314.95 daripada akaun SM Conveyor Sdn Bhd ke akaun perbankannya antara Januari 2022 hingga Januari 2026.
Dia turut menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana didakwa menyalahgunakan wang milik Pertubuhan Imaan Malaysia berjumlah RM166,950.
Wan Sharmaine pula berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana didakwa melupuskan wang milik Pertubuhan Imaan Malaysia berjumlah RM1,298,737.88 antara September 2021 hingga Januari 2022.
Selain itu, kedua-dua tertuduh turut didakwa bersama atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA kerana didakwa menyalahgunakan wang Pertubuhan Imaan Malaysia berjumlah RM6,510,333.50 dengan memindahkannya ke akaun SM Conveyor Sdn Bhd antara Januari 2022 hingga Januari 2026.
Mahkamah kemudian mengarahkan Muhammad Ali membayar wang jaminan RM120,000 dengan seorang penjamin, manakala Wan Sharmaine dikenakan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.
Kedua-dua tertuduh turut dikenakan syarat sama iaitu perlu melapor diri di Ibu Pejabat SPRM setiap bulan, tidak berhubung atau mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Kesemua tertuduh akan hadir semula untuk sebutan semula kes pada 27 Ogos ini.
Mahkamah turut mengarahkan kes Muhammad Ali dan Wan Sharmaine dipindahkan untuk didengar bersama di Mahkamah Sesyen 1 Shah Alam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




