Rom: Aprilia memberikan perkembangan positif mengenai keadaan pelumba Itali, Marco Bezzecchi selepas mengalami kecederaan tulang selangka pada Grand Prix (GP) Jerman, apabila dia kini sudah kembali menunggang motosikal.
Bekas pendahulu kejuaraan dunia itu mengalami patah tulang selangka selepas terbabit dalam kemalangan ketika sesi kelayakan GP Jerman sebelum saingan memasuki rehat musim panas.
Kecederaan itu menyebabkan Bezzecchi terlepas kedua-dua perlumbaan di Litar Sachsenring sebelum menjalani pembedahan pada tulang selangkanya tidak lama kemudian.
Aprilia sejak awal lagi optimis Bezzecchi mampu kembali beraksi pada GP Britain sejurus selepas rehat musim panas.
Pasukan itu mengeluarkan perkembangan terkini apabila Bezzecchi berjaya menunggang jentera Aprilia RSV4 di Litar Misano sebagai sebahagian daripada proses pemulihannya.
“Rakan media yang dihormati, pada Rabu Marco Bezzecchi melengkapkan sesi yang merangkumi empat tunggangan menggunakan RSV4 di Litar Misano. Program pemulihannya berjalan seperti yang dirancang.
“Temu janji berikutnya adalah di Silverstone, di mana dia akan menjalani pemeriksaan perubatan bersama pasukan perubatan MotoGP,” kata kenyataan Aprilia.
Kecederaan yang dialami Bezzecchi hadir ketika dia melalui tempoh sukar menjelang penghujung separuh pertama musim.
Sejak menjuarai GP Itali pada Mei lalu, Bezzecchi gagal mengutip sebarang mata dalam perlumbaan utama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




