Anwar yakin PH kekal kuasai N. Sembilan, minta jentera terus kerja hingga saat akhir

Anwar yakin PH kekal kuasai N. Sembilan, minta jentera terus kerja hingga saat akhir

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan bahawa gabungan itu mampu mempertahankan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung esok.

Kerjasama dengan semua pihak amat baik

Memetik laporan daripada Buletin TV3, Perdana Menteri menyatakan, keyakinan itu didorong oleh prestasi pentadbiran kerajaan negeri, komitmen jentera parti serta sambutan positif sepanjang tempoh berkempen.

“Kerjasama semua pihak amat baik dan kita yakin PH akan diberi mandat, seterusnya mencapai kemenangan.

“Namun begitu, kita tidak mengambil mudah saingan daripada parti lawan. Seluruh jentera terus bekerja sehingga saat akhir bagi memastikan sokongan rakyat diterjemahkan kepada undi.

“Insya-Allah, kita yakin dapat mencapai kemenangan,” katanya kepada media selepas solat Jumaat di Masjid Qaryah Paroi Jaya.

Proses pengundian berjalan lancar adalah paling utama

Anwar menambah, keutamaan ketika ini adalah memastikan proses pengundian berjalan lancar, aman dan terkawal dengan kerjasama semua pihak.

“Yang penting kita tumpu (mendekati pengundi) dan selepas itu (hari pengundian) pastikan dalam keadaan terkawal, baik melalui kerjasama dengan semua pihak,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas jumlah kerusi yang dijangka mampu dimenangi PH pada pilihan raya kali ini.

“Itu terserah sepenuhnya keputusan kepada pengundi. Itu kena tanya Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan),” katanya.

Sebelum ini, Anwar menegaskan keputusan pilihan raya tidak bergantung kepada kajian atau ramalan semata-mata, sebaliknya ditentukan oleh kebijaksanaan rakyat yang keluar mengundi.

PRN Negeri Sembilan Ke-16 menyaksikan pertandingan bagi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan hari pengundian ditetapkan esok.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menyasarkan keputusan awal dijangka mula diketahui seawal jam 10 malam, manakala keputusan penuh dijangka diumumkan sekitar jam 12 tengah malam.

Sumber: Buletin TV3 (Mohd Amin Jalil)

Scroll to Top