Ninh Binh: Seorang guru yoga mencipta Rekod Dunia Guinness (GWR) apabila melakukan 86 tekan tubi di dalam air dengan hanya satu nafas, lapor UPI.
Lelaki berkenaan, Kamal Kaloi, 38, yang berasal dari India dan menetap di Vietnam melakukan percubaan itu di sebuah kolam renang di Ninh Binh pada Oktober 2025.
Kaloi berkata, latihan dalam kalistenik dan teknik menahan nafas menjadi persediaan utama untuk menjayakan percubaan berkenaan.
Sebelum ini, dia pernah mencipta rekod bagi jumlah posisi yoga berturut-turut paling banyak dilakukan di dalam air selepas berjaya melakukan 21 posisi pada 2020.
“Saya mempunyai minat untuk melakukan sesuatu yang berbeza sejak dari awal lagi.
“Setiap kali saya melihat seseorang mencipta rekod atau mencapai sesuatu seperti ini, saya sentiasa mendapat inspirasi daripada mereka.
“Apabila saya mencipta rekod dunia pertama saya dalam yoga di dalam air, saya menyedari kekuatan saya dan memutuskan untuk mencabar diri dengan lebih lagi,” katanya.
Organisasi itu meneliti bukti dia melakukan 86 tekan tubi sebelum mengesahkan rekod bagi jumlah tekan tubi di dalam air paling banyak dengan satu nafas dalam kategori lelaki.
Dalam pada itu, Kaloi berkata, yoga banyak membantunya mencipta rekod itu kerana dia mempunyai pengalaman yang sangat baik dalam menahan nafas.
Katanya, dia kini mahir menahan nafas selama enam minit dan mampu melakukan pelbagai aktiviti ketika berbuat demikian.
“Saya mempunyai pengalaman yang sangat baik dalam menahan nafas dan saya gunakan untuk mencipta rekod dunia ini.
“Saya bukan saja pakar menahan nafas di dalam air selama enam minit, malah turut mampu melakukan pelbagai aktiviti ketika menahan nafas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




