Star City FC sasar kedudukan tiga teratas

Star City FC sasar kedudukan tiga teratas

ALOR SETAR: Era baharu bermula buat Imigresen FC apabila kelab itu dijenamakan secara rasmi sebagai Star City FC, hari ini dengan sasaran untuk menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok tiga teratas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sasaran itu realistik apabila melihat persediaan pasukan, selain perancangan yang teliti sebelum melangkah ke gelanggang yang bermula Ogos ini.

Beliau mengakui walaupun pasukan JDT masih berada dalam kelas tersendiri namun Star City diyakini mampu meningkatkan prestasi permainan bagi menyaingi pasukan seperti Selangor dan Kuching City FC.

“Walaupun kita bina pasukan ini dengan langkah sederhana pada musim lepas, musim ini kami jauh lebih bersedia berbanding tahun lepas kita cuma mempunyai masa dua minggu untuk buat persediaan selepas dilancarkan.

“Kami mempunyai perancangan termasuk pemilihan pemain yang sebahagiannya saya terlibat sendiri. Kami percaya boleh berada di posisi enam teratas pada musim lepas jadi kali ini kami cuma perlu tingkatkan persembahan untuk paling tidak menyaingi atau menyamai Selangor atau Kuching City,” katanya.

Saifuddin berkata, fokus utama pasukan musim ini adalah Liga Super manakala kejohanan lain akan dimanfaatkan bagi memberi lebih banyak minit permainan kepada semua pemain.

“Pertandingan lain itu adalah peluang kami untuk membolehkan masa bermain kepada semua pemain yang kami daftarkan. Minit permainan itu penting sebab pemain tak mampu untuk bersaing di semua pertandingan,” katanya.

Menyentuh aspek kewangan, Saifuddin menegaskan barisan penajaan yang agak memberangsangkan bagi musim ini akan menambah kekuatan pasukan itu.

“Kami tidak mungkin berada dalam kelas seperti JDT atau KL City FC atau Kuching City dan Selangor. Saya tahu berapa besar kekuatan dana mereka tapi saya percaya kami membelanjakan angka yang saya anggap memadai dan hasilnya amat membanggakan.

“Jadi kerana itu dari segi nilai, tentu saya tidak akan sebut tetapi kalau tengok barisan penaja, itu lebih menyakinkan. Paling penting dalam pengurusan bola sepak Malaysia ini, saya belajar satu perkara, jangan sampai gaji pemain tak bayar. Tidak semestinya perlu jumlah yang besar untuk memberi pulangan kejayaan dan kita buktikan musim lepas,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top